Paling Popular
Terkini

Dakwaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini tenat adalah tidak benar, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Shahrir berkata, ini kerana Felda masih mempunyai aset bernilai RM22 bilion.

"Aset Felda RM22 bilion, maksudnya aset banyak tetapi aset semasa mungkin dalam lingkungan RM3 bilion lebih dan yang bukan aset semasa macam hartanah dan pembangunan sebagainya.

"Maknanya kita ini bukan dalam keadaan yang tenat, tambah-tambah lagi kalau aset itu yang bukan diperlukan untuk kita menjalankan tugas, tanggungjawab asasi kita," kata Shahrir semasa sesi forum anjuran Barisan Nasional Youth Volunteers (BNVY) dengan tajuk "Kemana Hala Tuju Felda", di Kuala Lumpur malam tadi.

Menurut Shahrir, melalui aset-aset tersebut yang kebanyakannya berada di United Kingdom (UK) dilihat tidak lagi relevan kepada peneroka Felda dan beliau mempertimbang untuk menjualnya.

"Hotel dekat London, saya pun tak pernah pergi dan kalau ada pun mungkin dua, tiga saja, yang lain tak pergi pun.

"Ia (aset) tak membantu dari segi hasil kebun peneroka yang menjadi fokus kita, dia tak boleh menambah atau mengurangkan hasil peneroka.

"Maknanya aset ini tidak relevan kepada peneroka, jadi saya dalam proses menjual hotel ini dan dah ada ajen yang menguruskannya," kata Shahrir.

Kata Shahrir, saham Felda yang disenaraikan di Bursa Saham juga turut dalam senarai pertimbangannya untuk dijual.

"Kita masih ada lagi saham yang disenaraikan di Bursa Saham yang boleh dijual, kita ada tanah yang boleh kita jual, tanah yang kita beli 10 tahun dulu fikir nak buat macam-macamlah tapi tak terbuat atau tak jadi perancangannya itu pun kita boleh jual supaya kita benar-benar boleh fokus tugas dan peranan asasi kita," kata Shahrir.

Oleh demikian, kata Shahrir melalui langkah itu ia mampu mengurangkan defisit yang ditanggung agensi tersebut yang hampir mencecah RM1 bilion sejak tahun 2015, sekali gus mampu mengembalikan matlamat asal Felda dalam membela nasib peneroka.

Mengulas lanjut, Shahrir berkata perbelanjaan yang ditanggung oleh Felda yang melebihi pendapatan sebagai punca kepada defisit ditanggung walaupun memperoleh keuntungan daripada perniagaan yang dijalankan agensi tersebut.

“Kalau lihat kepada perniagaan Felda ini, maknanya pendapatan yang diperoleh daripada yang diusahakan di tanah-tanah kosong peneroka, maknanya 'direct business', dari segi itu memang kita untung.

“Tapi dari segi pendapatan atau penerimaan tolak perbelanjaan, kita tetap berdefisit, defisitnya setiap tahun sebilion lebih, pada tahun 2016, RM1 bilion dan pada tahun 2015 juga RM1 bilion,” kata Shahrir.

Bagaimanapun, Shahrir menegaskan perbelanjaan tersebut sebenarnya digunakan bagi program-program yang dikendalikan oleh Felda khususnya untuk peneroka.

“Ia mungkin defisit, mungkin Felda meniaga rugi, ini bukan kerana perniagaan tetapi dari segi perbelanjaan untuk mengisi program-program segala yang nak kita lakukan dan telah kita lakukan,” kata Shahrir.

Dalam forum itu juga Shahrir turut menyentuh berhubung Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) di mana pada asal penubuhannya untuk membentuk sebuah institusi pelaburan seperti Khazanah, bagaimanapun ia tidak memberikan pulangan seperti yang diharapkan.

“FIC diberikan modal untuk berniaga, setakat ini RM2 bilion masuk dalam harta FIC, pulangannya tak seberapa kepada FeldaA kerana perniagaan yang boleh memberikan pulangan itu ianya banyak kena perhatikan lah.

“Dan dalam transformasi Felda pun, untuk menjadikan Felda bukan sahaja terlibat dalam kebun peneroka tetapi menjadi sebuah organisasi seperti Khazanah umpamanya iaitu 'investment holding' tapi semuanya meninggalkan kesan tidak ada pulangan,” katanya.

Oleh itu, Shahrir yang dilantik sebagai pengerusi baru pada Januari lalu berkata, untuk memastikan sasaran itu dicapai, Felda perlu fokus kembali kepada pelaburan sedia ada.

“Jadi hari ini kita berdepan kalau kita nak kurangkan defisit atau pun mengatasi masalah defisit, tahun lepas saya tengok defisitnya dikatakan mungkin RM900 juta, jadi pada saya ini bil tahun lepas, maknanya RM900 juta, bawa ke depan ia kena tolak tunai di tangan pada awal tahun baru jadi RM800 juta.

“Bermakna kena berdepan dengan soal defisit ini dan apa yang boleh kita lakukan, kita sudah dapat persetujuan bahawa kita 'readjust' kepada pelaburan yang sedia ada,” katanya lagi.

Di awal pelantikan Shahrir sebagai pengerusi baru menyaksikan rombakan secara besar-besaran dalam Felda.

Ia menyaksikan rombakan pengurusan dalam usaha agensi itu mengembalikan kedudukannya untuk meningkatkan kesejahteraan dan menyelesaikan permasalahan warganya masa kini.

Langkah itu termasuk meneliti semula barisan anggota lembaga pengarah untuk memberi nafas baru dan nilai tambah kepada proses rombakan itu sendiri selain model perniagaan Felda ketika ini juga perlu diteliti semula secara keseluruhan.

Shahrir dilantik menerajui Felda selepas tempoh khidmat Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi tamat pada 31 Disember 2016.

Mohd Isa bagaimanapun kekal sebagai Pengerusi FGV.

Lihat Komen
ADS