Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid cabar anak Tajuddin ulangi kata-kata bapanya

Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mencabar Dr Faizal Tajuddin supaya mengulangi kata-kata bapanya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang didakwa menghina seorang anggota parlimen pembangkang wanita jika mengakui perbuatan itu tidak bersalah.

"Anak Tajuddin ada buat sidang media dan dalam sidang media itu dia kata saya yang mencetuskan insiden itu.

"Kalau dia rasa bahawa apa yang ayah dia cakap dalam parlimen tidak salah, maka saya cabar dia, ulangi kata-kata ayah dia di luar Parlimen.

"Buat sidang media, keluarkan kata-kata yang sama. Jangan bertindak sebagai orang lain yang pengecut, berlindung di sebalik imuniti Parlimen," kata Khalid pada sidang medianya di Shah Alam hari ini.

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu merujuk kepada kenyataan Faizal (kanan) yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Pasir Salak pada sidang akhbar 4 April lalu, menuduh polis sebagai tidak adil kerana tidak bertindak ke atas Khalid yang melemparkan perkataan kesat pada bapanya.

Pada 21 November tahun lalu, Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani semasa sidang Dewan Rakyat melabelkan anggota parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya wanita yang mempunyai 'Kok' .

Nama keluarga Kok adalah fonetik serupa dengan perkataan slanga untuk alat kelamin lelaki.

Imuniti parlimen

Berikutan itu, berlaku pertikaman lidah yang panas di Dewan Rakyat dan Khalid turut bangkit lalu menggelar Tajuddin dengan panggilan "sial" kerana tidak mahu menarik balik kata-katanya itu.

Berang dengan label ‘sial’ itu, sekumpulan penyokong dari Pasir Salak, termasuk anak Tajuddin, dua hari kemudian merempuh kawalan anggota keselamatan Parlimen dan cuba menyerang Khalid.

Mengulas lanjut, Khalid berkata Faizal perlu menyahut cabaran tersebut kerana ia membolehkan semua pihak menilai apakah yang dilemparkan oleh Tajuddin itu salah di sisi undang-undang atau tidak dan bukannya hanya berselindung di sebalik imuniti parlimen.

"Keluarkan kata-kata kesat, lepas itu berselindung di sebalik imuniti Parlimen.

"Itu satu tindakan yang (tak bertanggungjawab), dia kata seolah-olah saya yang mencetuskan peristiwa sedangkan kita semua tahu ia bermula daripada kata-kaya ayah dia.

"Kita nak lihat sama ada kata-kata itu boleh diterima atau tidak di sisi undang-undang itu sendiri," kata Khalid.

Khalid hari ini turut mengulangi desakannya agar Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin meminta Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali supaya mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang merusuh di parlimen itu.

"Bagi saya kalau parlimen sendiri tidak mengambil tindakan ia akan memberi gambaran yang cukup buruk terhadap Pandikar," katanya.

Sebelum ini, Khalidmenyatakan rasa tidak puas hatinya dengan lapan individu berkenaan yang hanya didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100.

Lihat Komen
ADS