Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Isu Nasha tiada kena mengena dengan kami
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 4:14 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

PAS berkata isu dakwaan penerimaan dana 1MDB oleh bekas timbalan presiden parti itu Datuk Nasharudin Mat Isa tiada kena mengena dengannya.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata Nasharudin bukan lagi pemimpin PAS, tiada peranan, “tiada hubungan langsung” dan tidak boleh mempengaruhi parti itu.

“Itu antara dia dengan pihak berkuasa. Kalau laporan telah dibuat terhadap dia, tiada kena mengena dengan PAS sama sekali,” katanya.

Setelah seminggu berteka-teki, Rafizi Ramli mendedahkan nama bekas pemimpin PAS yang didakwa menerima dana berkaitan 1MDB, yang dikatakan Nasharudin.

Rafizi juga membuat akuan berkanun (SD) berhubung perkara itu di hadapan pesuruhjaya sumpah di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Memetik seorang bekas penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rafizi mendakwa dana itu disalurkan daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak kepada “peguam tertentu” sebelum diedarkan kepada tokoh-tokoh politik lain, termasuk Nasharudin.

Sejak beberapa hari lalu, Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Nasharuddin melalui pelbagai cara – panggilan telefon, pesanan teks, e-mel dan faks – untuk mendapatkan reaksinya tetapi tidak berbalas.

Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Takiyuddin juga menafikan PAS menerima sebarang dana daripada Nasharudin sejak 2015.

PAS juga, katanya, tidak tahu menahu sama ada Nasharudin menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Tuduhan masih 'dengar cakap'

Sementara itu, dalam kenyataan petang ini,Takiyiddin menjelaskan Nasharudin tidak pernah memegang sebarang jawatan dalam PAS sejak gagal mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden pada 20111 dan selepas ditamatkan sebagai anggota Majlis Syura.

Takiyiddin berkata jawatankuasa pusat PAS tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada atau melalui beliau dalam apa bentuk sekali pun, kecuali sumbangan tetap bulanan sebagai anggota parlimen PAS.

Nasharudin tidak lagi menjadi anggota parlimen Bachok selepas Mei 2013.

Sementara itu, berkaitan SD Rafizi itu, Takiyuddin menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk diambil tindasan wajar mengikut undang-undang.

"Namun, PAS berpandangan ia kekal berstatus dengar cakap selagi individu yang dikatakan memberitahu 'maklumat' ini kepada beliau mengesahkannya," katanya.

Takiyuddin juga menggesa Rafizi turut segera membuat SD berkaitan dakwaan 'bersifat rasuah' yang dibuat penulis blog Raja Petra dan aktivis Chegubard terhadap beliau dan pemimpin lain PKR.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS