K'jaan Sabah tidak bercadang jual kepentingan dalam FGV

   

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menegaskan kerajaan negeri tidak bercadang untuk menjual kepentingannya dalam Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV).

Beliau berkata, keputusan untuk mengekalkan kepentingan berkenaan dibuat kerana kerajaan negeri berpendapat pelaburan dalam FGV adalah pelaburan yang penting dan bersifat jangka panjang.

"Oleh itu, kerajaan negeri tidak bercadang untuk melupuskan kepentingan dan pegangan dalam FGV. Saya memaklumkan bahawa dalam tempoh 2012 hingga 2016, kerajaan negeri telah menerima dividen sebanyak RM29,009,678.30 daripada FGV," katanya.

Musa, yang juga menteri kewangan Sabah, berkata demikian ketika menggulung perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan bagi kementerian itu pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau menjelaskan, pada 2012, kerajaan negeri memegang 65,934,066 unit saham FGV pada harga tawaran RM4.55 seunit dengan nilai pasaran RM300 juta.

Unit saham berjumlah 65,934,066 tersebut diberi secara percuma oleh FELDA, katanya.

"Bagaimanapun, pada 31 Mac 2017 harga pasaran saham FGV telah menurun kepada RM2.09 seunit sekali gus nilai pegangan saham FGV yang dimiliki kerajaan negeri turun kepada RM137,802,197.00.

"Penurunan harga saham ini mengakibatkan kejatuhan nilai aset kerajaan negeri sebanyak RM162,197,802.36 atau 54.07 peratus," katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata Cukai Jualan Negeri (SST) merupakan satu-satunya cukai dan sumber tambahan hasil yang diserahhak kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Jadual Kesepuluh Bahagian V dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, pengenaan SST, khasnya ke atas minyak sawit mentah (MSM) merupakan antara penyumbang kutipan hasil terbesar setiap tahun kepada kerajaan negeri, iaitu melebihi 25 peratus daripada jumlah hasil negeri.

Oleh itu, katanya, penting bagi Sabah mengekalkan hasil pendapatan negeri daripada sumber tersebut untuk menjamin pembangunan berterusan demi kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Musa menjelaskan, tidak timbul isu pencukaian dua kali oleh sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sistem SST di Sabah.

Musa berkata, ini kerana peniaga yang berdaftar dengan GST dibenarkan menuntut kembali cukai yang dibayar bagi input perniagaan mereka.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In