Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pekerja ladang tuntut janji Berjaya bina rumah mereka

Lebih 200 pekerja ladang mengadakan demonstrasi di luar Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini untuk menuntut rumah yang dilaporkan telah dijanjikan kepada mereka oleh Berjaya Corporation.

Mereka terdiri daripada peneroka generasi keempat dan kelima daripada lima ladang di Batang Berjuntai Selangor, yang telah dibeli dan dikendalikan oleh Berjaya dari tahun 1998 sehingga 2015.

Peneroka berkenaan mendakwa Berjaya menjanjikan mereka rumah pada tahun 1999.

Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan, yang mewakili pekerja-pekerja ladang itu bertemu dengan wakil Berjaya berhubung perkara itu hari ini.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas itu, Arutchelvan berkata syarikat itu telah memberi jaminan bahawa mereka akan mengkaji tuntutan peneroka berkenaan sewajarnya, walaupun tiada tempoh masa diberikan.

"Kami akan memberi masa kepada mereka selama sebulan dan lihat sama ada mereka akan panggil untuk bertemu," kata Arutchelvan.

Malaysiakini telah menghubungi Berjaya bagi mendapatkan komen.

Tanah telah dijual

Dalam surat kepada jawatankuasa kebajikan pekerja ladang yang dilihat oleh Malaysiakini bertarikh 6 Julai 1999, ADUN Ijok dari MIC dan exco Selangor K Sivalingan pada masa itu menyatakan Berjaya telah berjanji kepada kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik untuk pekerja-pekerja ladang terbabit.

"Berjaya telah bersetuju untuk membina rumah kos rendah untuk penduduk dan keutamaan akan diberikan kepada rumah bekas pekerja estet apabila projek perumahan bermula," tulis Sivalingan.

Pada tahun 2008, pengarah Berjaya City Robin Tan juga telah menulis kepada bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo dan berjanji untuk memperuntukkan 4,000 kaki persegi tanah bagi setiap keluarga di Sungai Tinggi kepada pekerja ladang berkenaan dengan syarat tertentu.

Berjaya kemudian menjual pegangan bagi ladang berkenaan kepada syarikat lain pada tahun 2015.

Lihat Komen
ADS