Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS gugur 'ibu segala bom' dalam serangan di Afghanistan

Amerika Syarikat menggugurkan "ibu segala bom," bahan  terbesar bukan nuklear yang terbesar pernah digunakan dalam pertempuran, ke atas rangkaian gua dan terowong yang digunakan oleh IS di timur Afghanistan semalam, kata tentera.

Presiden Donald Trump menganggap pengeboman itu sebagai bukti dasar luar AS yang lebih tegas sejak beliau mengambil alih jawatan pada bulan Januari. berbanding dengan lapan tahun pentadbiran Presiden Barack Obama.

Bom GBU-43 seberat 21,600 pound (9797 kg), yang mempunyai 11 tan bahan letupan, digugurkan dari pesawat MC-130 di daerah Achin di wilayah Nangarhar, berhampiran dengan sempadan dengan Pakistan, kata jurucakap Pentagon, Adam Stump.

GBU-43, yang juga dikenali sebagai 'ibu segala bom', ialah senjata berpandu GPS dan pertama kali diuji pada Mac 2003. Ia dianggap sebagai amat berkesan terhadap kelompok sasaran di atas atau di bawah tanah.

Ini adalah kali pertama Amerika Syarikat menggunakan bom konvensional bersaiz sedemikian ketika konflik.

Trump menyifatkan pengeboman itu sebagai "misi yang sangat berjaya". Ia tidak jelas berapa banyak kerosakan ekoran pengebomnan tersebut.

Semasa kempen pilihan raya presiden tahun lepas, Trump berikrar untuk memberi keutamaan kepada pemusnahan IS, yang beroperasi kebanyakannya di Syria dan Iraq.

Minggu lalu, beliau mengarahkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan udara kerajaan Syria sebagai tindak balas terhadap serangan gas beracun.

"Jika anda lihat apa yang berlaku dalam tempoh lapan minggu lalu dan bandingkan dengan apa yang benar-benar berlaku dalam tempoh lapan tahun lalu, anda akan melihat  ada perbezaan yang besar," kata Trump kepada pemberita di White House semalam.

Situasi keselamatan masih tidak menentu di Afghanistan, dengan beberapa kumpulan militan cuba untuk merampas wilayah sejak lebih 15 tahun selepas pencerobohan AS yang menggulingkan kerajaan Taliban.

Setakat ini, Trump tidak menyatakan secara jelas mengenai strategi terhadap isu Afghanistan, di mana sekitar 8,400 tentera AS ditempatkan.

Minggu lalu, seorang tentera AS terbunuh di daerah yang sama di mana bom digugurkan semasa dia sedang menjalankan operasi terhadap IS.

Jurucakap Rumah Putih, Sean Spicer berkata pengeboman itu "disasarkan ke atas satu sistem terowong dan gua yang digunakan oleh pejuang IS untuk bergerak dengan bebas, dan memudahkan mereka menyasarkan penasihat tentera AS dan tentera Afghanistan di kawasan itu."

Spicer berkata bom itu digugurkan sekitar jam 7 malam waktu tempatan dan menyifatkannya sebagai "senjata yang besar, kuat dan tepat pada sasaran". Tentera AS, katanya, mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan korban awam.

Tentera dan polis Afghanistan, dengan bantuan ribuan penasihat tentera asing, bergelut untuk menangani kebangkitan pemberontakan yang diketuai oleh Taliban, serta kumpulan lain seperti IS.

Pemantau tertinggi kerajaan AS di Afghanistan berkata pada awal tahun ini bahawa kerajaan Afghanistan mengawal kurang daripada 60 peratus negara ini.

Pakar-pakar dasar luar berkata penggunaan senjata khusus seperti GBU-43 dilihat lebih kepada jenis sasaran - terowong - daripada AS menghantar sebarang mesej kepada negara-negara lain dengan menggunakan senjata yang kuat seumpama itu.

"Ini adalah senjata yang sangat khusus, kita tidak ada banyak, anda hanya boleh menggunakannya dalam keadaan tertentu," kata Mark Cancian, penasihat kanan badan pemikir Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS