Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penduduk sebelah tapak SUKE berdepan masalah banjir

Penduduk yang tinggal bersebelahan tapak pembinaan Lebuh raya bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) mengadu rumah mereka dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

Mereka mendakwa dua kejadian banjir berlaku sejak dua bulan lepas.

"Saya telah tinggal di sini selama 24 tahun, tak kira selebat mana pun hujan, air sentiasa mengalir ke dalam longkang di belakang rumah kami," kata Saidati Hassan, 56 (gambar kanan), yang telah menetap di Taman Bukit Teratai sejak dua dekad yang lalu.

"Ini adalah kali pertama kami dilanda banjir kilat, Dua kejadian banjir berlaku sepanjang dua bulan lepas," katanya.

Kejadian banjir pertama berlaku pada 19 Mac manakala yang kedua berlaku hanya tiga hari lepas. Tujuh belas buah rumah terjejas dalam banjir kedua.

Rumah-rumah tersebut, seperti juga rumah Saidati, terletak di kaki Bukit Sungai Putih (gambar di bawah), di mana SUKE sedang dibina.

Kerja pembersihan tanah untuk pembinaan lebuh raya itu bermula pada bulan Januari tahun ini.

Anak perempuan Saidati - Nina - yang sedang mengandung tujuh bulan anak keduanya, berada di rumah itu ketika banjir terbaru berlaku.

Menurutnya, air berlumpur masuk dari belakang rumah dan dia terus mengambil anaknya dan beredar.

Manakala ibunya terjatuh kerana licin, katanya.

Saidati dan keluarganya telah ditempatkan di sebuah hotel untuk satu malam oleh Prolintas Sdn Bhd, syarikat di sebalik pembinaan SUKE itu.

Apabila balik pada keesokan harinya, suaminya terpaksa mengambil masa dua hari cuti untuk membersihkan rumah mereka dan membuang perabot yang rosak kerana banjir.

Motosikal hanyut

Tidak jauh dari situ ialah kediaman Foong Thai Thai (gambar bawah, kanan) dan keluarganya.

Foong, 53, berkata motosikalnya telah dihanyutkan banjir itu. Dia menemuinya sejauh empat rumah dari situ.

"Air melimpah dari longkang masuk ke dalam rumah kami, air setinggi orang," katanya.

Selepas banjir pertama, Prolintas membina longkang yang besar untuk menyalurkan air hujan dari kawasan perumahan Taman Bukit Teratai.

"Nasib baik mereka buat longkang, jika tidak saya tak boleh bayangkan berapa tinggi airnya," kata Foong.

Foong, yang telah tinggal di rumahnya sejak dua tahun lalu, berkata dia kini menghadapi masalah untuk tidur ketika hujan pada waktu malam. Dia sentiasa bimbang mengenai kemungkinan berlaku tanah runtuh.

Bagi jirannya pula, Lim Ley Yow (foto, bawah), unit penyaman udara, rak buku dan dua buah komputer, rosak akibat air berlumpur yang membanjiri rumah mereka.

"Saya berdiri di luar di belakang rumah saya apabila saya nampak air datang dari atas bukit (Bukit Sungai Putih) itu.

"Air sampai ke rumah saya dalam masa kurang satu minit, saya tak sempat nak ambil kasut dan selipar kami. Semuanya hanyut," katanya.

SUKE dalam pada itu berkata mereka telah mengambil tindakan segera.

"Selepas banjir pertama, kami bina longkang yang besar untuk menyalurkan air hujan terus ke longkang utama, tetapi malangnya banjir berlaku lagi," kata pengurus projek SUKE, Abdul Halim Romli.

Kali ini, pasukan Abdul Halim akan membuang semua serpihan (yang disebabkan oleh banjir) dari tiga kolam tadahan yang terletak di bukit di tapak pembinaan, membina tembok rendah di sekitar pintu rumah penduduk dan membina semula benteng gabian yang runtuh ketika banjir.

Beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera, tindakan sementara dan tindakan kekal.

Sebuah kiosk mudah alih SUKE juga telah disediakan di hadapan tapak pembinaan itu untuk menangani aduan penduduk dan membantu mereka dengan tuntutan insurans terhadap Prolintas.

ADUN Teratai yang juga ahli politik DAP, Tiew Way Keng menggesa supaya dikeluar arahan hentikan kerja terhadap SUKE sehingga semua kerja-kerja tebatan banjir selesai.

"Semua kerja tebatan mesti siap dalam tempoh lima hari dan kontraktor (Cergas Murni Sdn Bhd) juga telah didenda RM250,000.

"Ini telah diputuskan dalam mesyuarat dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (Nadma)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketua biro aduan Gerakan, Liew Pok Boon dan pengerusi MCA Pandan, Leong Kok Wee turut melawat kawasan kediaman terbabit.

Leong mendakwa, SUKE tidak membina sistem pengurusan air yang baik dan benteng gabian diperbuat daripada bahan yang tidak baik.

"Pampasan untuk kedua-dua banjir perlu dibayar kepada penduduk," katanya.

Selain tuntutan insurans yang mengambil masa yang panjang, tegasnya, Prolintas harus menyediakan wang kecemasan untuk membantu penduduk membersihkan rumah mereka, "kata Leong.

SUKE akan bermula di persimpangan Sri Petaling dan keluar di Ulu Kelang. Ia melalui lebih 60 kawasan perumahan termasuk 338 premis di Hulu Langat dan 50 premis di Gombak, lapor Malay Mail Online.

Lebuh raya sepanjang 24.4km itu dijangka siap menjelang Ogos 2019.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS