Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukai baru besi import demi lindungi industri tempatan

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini berkata, kerajaan akan mengenakan cukai baru ke atas besi import bagi melindungi industri tempatan.

Mengulas amaran Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) yang menyatakan pembeli harta tanah menanggung kos pembinaan lebih tinggi ekoran cukai dikenakan terhadap besi import.

Menyatakan kilang tempatan boleh menghasilkan produk sama, Johari berkata, industri di negara ini akan terjejas dan pekerja mungkin diberhentikan jika besi dibenarkan terus diimport ke negara ini.

"Kita tak boleh benarkan orang luar datang dan menjual produk mereka pada harga begitu murah dengan tujuan membunuh industri tempatan.

"Kalau kita benarkan barang-barang masuk ke negara kita, industri dalam negara akan tutup, pekerja akan diberhentikan," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Johari menyertai program gotong-royong bersama penduduk Perumahan Awam Seri Perlis II di Jalan Datuk Keramat.

Jaga kepentingan pengguna

Menurut Johari, kerajaan perlu memastikan keadaan itu tidak berlaku.

Jika tidak, katanya, tiada sesiapa dapat melakukan perniagaan di Malaysia kerana segala-galanya adalah diimport.

Beliau juga berkata, tidak ada sebab mengapa produk seumpama itu perlu diimport apabila ia boleh dihasilkan di dalam negara.

"Tapi kalau produk itu tak ada dalam negara atau tak mencukupi untuk pembangunan, maka itu tak apa, kita boleh benarkan diimport.

"Itu semua kena melalui proses di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan mengendalikannya," kata beliau.

Mengenai kemungkinan cukai itu tidak akan menjejaskan pengguna, Johari berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memastikan bekalan dan permintaan diambil kira dalam setiap keputusan berkaitan.

"Kalau tak diimbangi, kita takut peniaga mengambil peluang untuk menekan pengguna kerana ketiadaan barang. Kita kena jaga," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS