Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik berpendapat, tindakan Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) yang memfailkan tuntutan antaranya memerintahkan penangkapan dan pengusirannya dari negara ini sebagai mencari publisiti.

"Saya rasa mereka (Hindraf) lakukannya untuk publisiti, untuk publisiti," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas selesai majlis anjuran PERKASA di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan berhubung tindakan Hindraf serta sekumpulan aktivis yang memfailkan tuntutan terhadap Dr Zakir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman itu difailkan oleh Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy dan 18 yang lain, termasuk ADUN Bingkor Jeffrey Kitingan, peguam Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, semasa berucap merasmikan Ijtimak 150 Cendikiawan Islam bersama Dr Zakir Naik di ibu negara hari ini, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) berharap Hindraf dapat memadamkan persepsi negatif terhadap Dr Zakir.

Datuk Ibrahim Ali juga berharap Hindraf bersama aktivis berkenaan  menarik balik tuntutan yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut agar Dr Zakir ditangkap dan diusir.

Ini kerana, menurut Ibrahim, kehadiran sesetengah kumpulan bukan Islam ke syarahan pendakwah antarabangsa itu adalah atas kerelaan mereka sendiri dan bukan paksaan.

Padam persepsi negatif

Ibrahim turut mengumpamakan kehadiran individu bukan Islam di syarahan Dr Zakir seperti kehadiran orang Islam ke Batu Caves ketika perayaan Thaipusam.

"Kenapa ribuan orang berkumpul di Batu Caves pada hari Thaipusam? (Kerana) majoriti mereka termasuk sesetengah Guru Hindu dari India datang ke Batu Caves untuk tujuan keagamaan.

"Ada juga orang muslim termasuk perdana menteri yang datang ke Batu Caves pada Thaipusam atas dasar muhibah, perpaduan kaum dan toleransi agama.

"Saya harap Hindraf dapat memadamkan persepsi negatif terhadap syarahan Dr Zakir tentang Islam serta (pengerusi Hindraf) P Waythamoorthy dan 18 yang lain dapat menarik balik kes mereka terhadap Zakir yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur," katanya.

Lihat Komen
ADS