Paling Popular
Terkini

Kerajaan akan memikirkan langkah terbaik bagi memastikan peningkatan harga minyak tidak memberi kesan kepada rakyat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata secara umum mekanisma itu sudah ada tetapi ia akan diperhalusi dan diumumkan apabila tiba masanya.

"Tapi setakat hari ini harga minyak masih berpatutan, jadi kita biarkan dulu," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemungkinan harga minyak mentah dunia meningkat kepada AS$100 setong.

Harga minyak di negara ini ditetapkan secara mingguan sejak awal April lalu berbanding secara bulanan sebelumnya.

Kali terakhir pengumuman dibuat pada Rabu lalu, harga petrol RON95 dan diesel meningkat lapan sen, manakala RON97 naik 9 sen.

Akan terus pantau

Ia mencetuskan rasa gelisah orang ramai apabila peningkatan berkenaan turut memberi kesan kepada kos sara hidup pengguna secara keseluruhan.

Pola harga minyak dunia semasa pula menunjukkan peningkatan berterusan, sekaligus menimbulkan keresahan mengenai harga jualan runcit di negara ini.

Menurut Johari, harga jualan minyak bukan ditetapkan oleh kerajaan sebaliknya dipengaruhi oleh pasaran dunia.

Sebelum ini, katanya, harga minyak diumum secara bulanan menyebabkan rakyat tidak tahu apa yang berlaku pada pasaran minyak dunia sepanjang tempoh berkenaan.

"Dulu kalau umum tiap-tiap bulan, apa yang berlaku dalam sebulan rakyat tak nampak. Apabila tak nampak (rakyat hanya lihat) harga minyak tiba-tiba naik, tiba-tiba turun.

"Sedangkan rakyat tengok apabila buat pengumuman harga minyak naik, ketika itu harga minyak dunia jatuh.

"Harga minyak naik kerana pengiraan yang dilakukan dalam tempoh sebulan," katanya.

Buat masa ini, kata Johari, kerajaan akan terus memantau keadaan harga minyak.

Lihat Komen
ADS