Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir: Kemukakan aliran wang jika tiada salah laku
Diterbitkan:  Apr 17, 2017 10:08 AM
Dikemaskini: 2:14 AM

Keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal derma RM2.6 bilion tidak boleh diterima kecuali aliran wang itu dikemukakan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sekadar surat pengakuan oleh penderma yang bermurah hati tidak memadai.

“Begitu juga dengan keputusan Peguam Negara bahawa tiada sebarang salah laku boleh diterima tanpa semua rekod yang dinyatakan," kata Mahathir dalam catatan terbaru dalam blognya hari ini.

Pada Januari 2016, Apandi mengisytiharkan bahawa Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung skandal derma itu yang menyaksikan wang AS$681 juta dipindahkan ke akaun bank peribadinya.

Peguam Negara juga berkata berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, wang berkenaan adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Saudi.

Beliau seterusnya memaklumkan bahawa Najib telah memulangkan AS$620 juta kepada penderma itu semula.

Walau bagaimanapun, ini dipertikaikan oleh pengkritik Najib, yang memetik saman pelucuthakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

Saman DOJ mendakwa bahawa wang AS$ 681 juta yang berada di akaun Najib - yang dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1' (MO1) dalam dokumen itu - adalah dana yang telah diselewengkan daripada 1MDB.

Identiti Najib sebagai MO1 disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

DOJ turut mendakwa bahawa dana AS$620 juta kemudiannya disalurkan ke akaun bank Singapura Tanore Finance Corporation.

Mahkamah Singapura sebelum ini mendapati bahawa akaun Tanore itu dikawal oleh jutawan kelahiran Pulau Pinang Jho Low.

"Jelas sekali penyiasat boleh menjejaki rekod pergerakan AS$681 juta termasuk pemulangan AS$620 juta kepada raja Arab yang bermurah hati itu.

"Kerahsiaan perbankan tidak seharusnya menghalang penyiasatan oleh pihak berkuasa kerajaan yang menyiasat perbuatan jenayah," kata Mahathir.

Najib telah berulang-kali menafikan beliau menyalahgunakan dana 1MDB, dan berkata dakwaan itu dibuat oleh mereka yang ingin menjatuhkannya.

Lihat Komen
ADS