Penduduk Jakarta tentukan Ahok atau Anies Rabu ini

       

GLOBAL l Pusingan kedua pilihan raya Ketua Daerah bagi memilih Gabenor Jakarta pada Rabu ini dilihat mendedahkan kota raya terbabit kepada ketegangan politik dan agama.

Menurut Reuters, tinjauan menunjukkan perlumbaan kini bertambah sengit dengan penyandang Gabenor Basuki 'Ahok' Tjahaja Purnama, seorang penganut Kristian keturunan Cina, menghampiri jumlah undian yang diperoleh bekas Menteri Pendidikan, Anies Baswedan.

Ahok sedang dibicara atas tuduhan menghina agama berpunca daripada kempen besar-besaran diketuai penyokong tegar Islam dan dakwaan komplot menggulingkan Presiden Joko 'Jokowi' Widodo.

Pilihan raya Jakarta itu dianggap sebagai satu pilihan utama menjelang pilihan raya presiden 2019 antara kumpulan yang mengamalkan dasar sekular pasca Perang Dunia Kedua dan kumpulan fanatik Islam yang semakin kuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganalisis politik dan penasihat bekas Presiden Abdurrahman Wahid, Wimar Witoelar berkata, undian itu adalah ujian kes buat masyarakat majmuk Indonesia, jika ia dapat bertahan daripada tekanan kumpulan agama dan penyokong populis.

"Indonesia berada di persimpangan, saya maksudkan Indonesia, bukan hanya Jakarta," katanya.

Tinjauan oleh firma Indikator menunjukkan, Anies mendahului sokongan undian dengan 48.2 peratus diikuti Ahok 47.4 peratus manakala 4.4 peratus lagi berkecuali.

Ahli perniagaan bimbang tentangan ganas daripada pihak yang kalah dalam pilihan raya, sekali gus menjejaskan persekitaran pelaburan selain membahayakan pembaharuan ekonomi mantap diperkenalkan Jokowi.

Ahok, yang menggantikan Jokowi pada 2014 sebagai gabenor ibu kota ini selepas berkhidmat sebagai timbalannya, menyaksikan popularitinya meningkat ketika beliau menangani pembangunan uzur, masalah banjir kronik dan rasuah endemik di bandar penuh sesak dihuni lebih 10 juta penduduk.

Sokongan terhadapnya menjunam selepas satu video disunting beredar September lalu mengatakan Ahok mengejek petikan al-Quran digunakan pencabarnya untuk mempertikaikan Muslim tidak seharusnya mengundi individu bukan Islam sebagai pemimpin.

 

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda