Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Husam Musa hari ini memberitahu, beliau tidak pernah bertemu serta berkomunikasi dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berhubung dakwaan dana diterima PAS.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga memberitahu, sumber pemberi maklumat berhubung dakwaannya terhadap PAS sebelum ini juga berbeza daripada Rafizi.

"Saya tak jumpa Rafizi, saya tak berkomunikasi dengan dia secara peribadi. Saya tak tahu sama ada apa yang dibangkitkan Rafizi juga (melibatkan) transaksi Affin Bank atau berbeza.

"Kita kena bandingkan nota. Saya kena jumpa dia (Rafizi).

"(Tetapi) saya rasa (pemberi) maklumat kami berbeza. Saya tak boleh beritahu siapa sumber saya, tapi berbeza," katanya pada sidang media di Wisma AMANAH hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita sama ada isu yang dibangkitkannya Februari lalu adalah isu sama seperti dakwaan Rafizi terhadap bekas pemimpin PAS Nasharuddin Mat Isa.

Rafizi mendakwa dia mempunyai bukti bahawa Nasharuddin menerima dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. Bagaimanapun Nasharudin dan PAS menafikan dakwaan itu.

Husam pula mendakwa terdapat dana dimasukkan melalui akaun di Affin Bank, namun bekas naib presiden PAS itu tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut serta bersedia disaman bekas partinya.

Kedua-dua dakwaan itu juga mirip dengan dakwaan laman pembocor maklumat Sarawak Report bahawa PAS menerima RM90 juta daripada pemimpin Umno.

Selain itu, ADUN Salor berkenaan memberitahu, sehingga hari ini beliau tidak menerima sebarang surat tuntutan atau saman daripada PAS berhubung dakwaannya sebelum ini.

"Tak ada, tak terima apa-apa," jawabnya ringkas.

PAS sebelum ini menyatakan kesediaan untuk menyaman Husam ekoran kenyataan dibuat berkaitan dana RM90 juta.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti terbabit menganggap kenyataan Husam adalah rantaian daripada fitnah dibuat Sarawak Report sebelum ini dan PAS menafikan sekeras-kerasnya "tuduhan jahat" Husam.

Lihat Komen
ADS