Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa, hari ini mempertikaikan arahan kerajaan Kelantan mengenakan larangan berniaga ke atas peniaga bukan Islam pada waktu Maghrib.

Kata Husam, arahan berkenaan sepatutnya terhad kepada peniaga Muslim sahaja kerana peniaga bukan Islam tidak menunaikan solat Maghrib.

"Saya rasa kerajaan Kelantan sekarang tak ada agenda utama untuk menunjukkan mereka berkhidmat dan memajukan rakyat.

"Jadi mereka kena cari perkara kecil untuk nampak Islamik," katanya kepada media di Wisma AMANAH di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung arahan kerajaan Kelantan yang meminta agar semua peniaga - termasuk bukan Islam - menghentikan operasi ketika masuk waktu Maghrib.

Free Malaysia Today melaporkan, exco Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, menyatakan arahan itu bagi memastikan semua pihak termasuk pembeli boleh menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan kegiatan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan itu berkata, arahan berkenaan juga untuk memberi masa kepada para peniaga berehat dan menunaikan solat.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu Maghrib, dan wisel kedua sebanyak dua kali 10 minit kemudian.

Dasar tersebut telah dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu, sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu, tahun lalu.

Kata Abdul Fattah, peniaga yang ingkar akan diberikan amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil.

Husam yang juga wakil rakyat bagi kawasan dewan undangan negeri Salor berkata, larangan itu sepatutnya tidak perlu diperluaskan kepada orang bukan Islam.

"Ini nak tunjukkan bahawa mereka (kerajaan Kelantan) adalah kerajaan negeri yang paling Islamik," katanya.

Lihat Komen
ADS