Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nukilan MP Kuala Nerus berbahaya
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 12:40 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Seorang pendakwah berpendapat, kenyataan yang dianggap tidak cermat oleh anggota parlimen Kuala Nerus minggu lalu sebagai berbahaya dan boleh mengundang kepada perbuatan melampau jika dilihat dari konteks yang salah.

Menurut Wan Ji Wan Hussin, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbau gerakan pelampau seperti ISIS.

Katanya, ramai ulama dunia ketika ini menganggap kumpulan terbabit sebagai khawarij moden - merujuk kepada gerakan yang hanya menganggap jalur pemikiran mereka saja yang benar dan mesti diterima.

"Anggota parlimen Kuala Nerus tidak wajar mengeluarkan kenyataan berbau ISIS yang dianggap ramai ulama dunia sebagai khawarij moden.

"Kenyataan itu boleh membawa kepada amalan ISIS (jika ditafsir) dengan konteks yang salah," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 11 April lalu Khairuddin membuat catatan di Facebook beliau dengan menukilkan suatu kisah pada zaman Rasulullah SAW.

Beliau yang juga ketua penerangan Dewan Ulama Pusat PAS memberitahu, sekumpulan pemuda meminta izin daripada Nabi Muhammad untuk membunuh seorang lelaki Yahudi Madinah bernama Ka'ab Asyraf.

Kaab dikatakan menghina kemenangan Islam dalam Perang Badar dan nabi memberi isyarat supaya tindakan keras dikenakan ke atas lelaki terbabit.

"Mereka akhirnya berjaya memancung kepala si Yahudi tersebut lalu mereka bertakbir.

"Gema takbir mereka sampai ke Madinah. Tindakan keras itu adalah peringatan kepada Yahudi yang menghina Islam," tulis Khairuddin.

Tangkap layar (screenshot) status itu menjadi tular di kalangan pengguna media sosial hari ini.

Ditanya lebih lanjut, Wan Ji yang juga ketua Biro Agama Pemuda PKR berkata, ada perdebatan mengenai kesahihan kisah berkenaan.

Antara yang dibincangkan, kata Wan Ji, ialah punca Ka'ab itu dibunuh.

"Ada sebilangan ulama menganggap Ka'ab dibunuh bukan kerana menghina islam, tapi dalam keadaan dia menjadi watak utama mewujudkan suasana perang terhadap kerajaan Madinah.

"Dia dibunuh di bawah kesalahan pemberontakan," katanya.

Bagaimanapun semakan Malaysiakini beberapa jam selepas berita ini disiarkan mendapati status berkenaan sudah tidak dapat dikesan pada akaun Facebook Khairuddin.

Lihat Komen
ADS