Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid mahu heret k’jaan PAS K'tan ke mahkamah
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 2:12 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri Kelantan berikutan arahan kepada peniaga pasar malam supaya menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib.

"Saya akan memfailkan saman terhadap kerajaan Kelantan minggu ini.

"Arahan supaya peniaga pasar malam menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib adalah tidak sah.

"Keputusan untuk melarang peniaga untuk tidak membuka kedai sebelum jam 3 petang pada bulan Ramadan juga adalah menyalahi undang-undang," katanya dalam satu siri tweet di laman mikro-blog Twitter.

Zaid menyifatkan kepimpinan kerajaan Kelantan sebagai "tidak bertanggungjawab".

"Kebanyakan polisi mereka tidak mempunyai asas dalam undang-undang.

“Mereka hanya mengambil kesempatan daripada umat Islam yang takut dilabelkan sebagai jahil," katanya.

Zaid yang kini menganggotai parti DAP berkata, beliau juga tidak gentar dengan tindak balas yang mungkin diterimanya berikutan cabaran undang-undang itu.

"Biar Allah tentukan jika saya jhil; Bukan ulama separuh masak yang mencari kedudukan politik di Kelantan," katanya.

Semalam, bekas exco Kelantan Datuk Musa turut mempersoalkan langkah kerajaan negeri untuk mengenakan larangan berniaga ke atas peniaga bukan Islam pada waktu Maghrib.

Kata Husam yang kini adalah naib presiden Parti Amanah Negara., arahan berkenaan sepatutnya terhad kepada peniaga Muslim sahaja kerana peniaga bukan Islam tidak menunaikan solat Maghrib.

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, semalam dilaporkan berkata, arahan itu bagi memastikan semua pihak termasuk pembeli boleh menunaikan solat Maghrib sebelum meneruskan kegiatan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan itu berkata, arahan berkenaan juga untuk memberi masa kepada para peniaga berehat dan menunaikan solat.

Beliau berkata, wisel pertama akan dibunyikan 15 minit sebelum masuk waktu Maghrib, dan wisel kedua sebanyak dua kali 10 minit kemudian.

Dasar tersebut telah dimulakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu, sebelum diperluaskan kepada semua pihak berkuasa tempatan di negeri itu, tahun lalu.

Kata Abdul Fattah, peniaga yang ingkar akan diberikan amaran terlebih dahulu, sebelum dikenakan larangan sementara jika terus berdegil.

 

Lihat Komen
ADS