Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan bidas kembali 'Melayu berjiwa sekular'
Diterbitkan:  Apr 18, 2017 5:11 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Menghentikan perniagaan seketika ketika Maghrib sudah menjadi budaya di Kelantan dan hanya pihak “berjiwa sekular” tidak dapat menerima peraturan itu, menurut kerajaan negeri.

Pengarah Urus Setia Penerangan Kelantan Ashaari Mamat berkata amalan itu sudah lama diterima selaras dengan gelaran negeri itu sebagai Serambi Mekah, lapor Harakahdaily.

“Malangnya ada pemimpin Melayu yang berjiwa sekular tidak menerima peraturan seperti itu.

“Ini sesuatu yang cukup malang bagi rakyat Malaysia,” beliau dipetik sebagai berkata di Kota Bharu.

Ashaari juga berkata “pemimpin sekular” sedang memperlekeh usaha itu bagi mencacatkan dasar Membangun Bersama Islam.

Menurutnya lagi, peraturan itu sepatutnya disokong kerana dapat mendidik rakyat supaya segera menunaikan solat Maghrib yang waktunya pendek.

Laporan itu tidak menyebut beliau merujuk langsung kepada pemimpin mana.

Bagaimanapun ia dibuat selepas bekas menteri Umno yang kini bersama DAP Datuk Zaid Ibrahim mengugut untuk menyaman kerajaan negeri susulan langkah itu.

Bekas pemimpin kanan PAS yang berpaling tadah kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Husam Musa juga menolak peraturan itu kerana orang bukan Islam tidak perlu bersembahyang Maghrib.

Husam berkata kerajaan Kelantan sebenarnya tiada agenda utama untuk memajukan rakyat dan justeru mencari perkara kecil untuk dilihat Islamik.

Kontroversi itu meledak selepas arahan yang hanya hanya dikuatkuasakan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebelum ini kini diperluaskan ke daerah-daerah lain.

Lihat Komen
ADS