Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kerabat' Kelantan didakwa guna gelaran tanpa kebenaran

Seorang ahli perniagaan yang mendakwa dirinya anggota keluarga diraja Kelantan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini kerana menggunakan gelaran diraja tanpa kebenaran istana.

Tengku Iskandar Tengku Ahmad didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Ogos 2014 apabila menandatangani dokumen menggunakan nama "Yang Maha Mulia Tengku Iskandar Ibni Almarhum Tengku Ahmad Panglima Raja".

Ahli perniagaan berusia 71 tahun itu mendakwa dirinya keturunan Long Yunus, seorang raja Kelantan yang memerintah negeri itu pada abad ke-18.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan kepala surat daripada Pertubuhan Kerabat D'Raja DYMM Long Yunus dalam satu dokumen untuk membenarkan pemandunya Chai Kok Leong mengendalikan Mercedes Benz miliknya.

Pendaftaran bagi Pertubuhan Kerabat D'Raja DYMM Long Yunus, bagaimanapun, telah dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 11 Februari 2011.

Tengku Iskandar mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 3(1)(a) Kelantan Enakmen Bil. 8 1977, Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (mencegah daripada salah guna) dan Seksyen 48 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Jika didapati bersalah bagi pertuduhan pertama, Tengku Iskandar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

Manakala bagi pertuduhan kedua, beliau boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan seterusnya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS