Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latif Bandi letak jawatan exco Johor
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 3:27 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Datuk Abd Latif Bandi hari ini meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan negeri Johor, selepas mengaku tidak bersalah dalam kes rasuahnya semalam.

Mengumumkan keputusannya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan melalui peguamnya, beliau turut merakamkan penghargaannya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Menteri Besar Datuk Seri Khaled Nordin kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

Peguamnya berkata dengan bantuan keluarga dan penyokongnya, Abd Latif hari ini berjaya mengumpulkan wang RM2 juta untuk membayar ikat jamin dan dibebaskan.

Abd Latif, 51 dikenakan jaminan RM2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Baru semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah bernilai lebih RM30.3 juta antara tahun 2013 dan tahun lalu.

ADUN Endau itu mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah tersebut sementara perunding hartanah itu membuat pengakuan sama terhadap 33 pertuduhan menerima rasuah.

Bagaimanapun, sehingga habis waktu pejabat, Abd Latif gagal membayar wang jaminan itu kerana akaun banknya telah dibekukan dan beliau kemudian dihantar ke Penjara Reman Ulu Choh sementara Amir Shariffuddin dibebaskan pada sebelah tengah hari setelah menjelaskan wang jaminannya.

Sementara itu, Bernama memetik Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai berkata pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan Abd Latif sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.

Beliau berkata surat peletakan jawatan itu memaklumkan Abd Latif melepaskan semua jawatan rasmi dalam kerajaan negeri.

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Johor menghormati keputusan yang diambil oleh beliau.

Keputusan itu sudah pastinya berdasarkan penilaian yang terbaik untuk semua pihak. Saya berharap proses keadilan dapat berlangsung mengikut peruntukan undang-undang yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Abd Latif di atas jasa dan khidmat baktinya sepanjang bertugas dengan kerajaan negeri.

Selain itu, kerajaan negeri berharap dan mendoakan segala urusan Abd Latif selepas ini dipermudahkan dan berjalan lancar.

Lihat Komen
ADS