Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan batal, tapi utamakan parlimen BN, kata Noh
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 3:47 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar menafikan kerajaan membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan parlimen yang tidak dimenangi BN pada pilihan raya umum lalu.

Sebaliknya, beliau berkata, kementeriannya hanya mengutamakan kawasan parlimen serta DUN yang dikuasai BN terlebih dahulu.

"Tuduhan ini adalah tidak benar kerana di Selangor banyak kawasan BN kalah terutama di Shah Alam dan Sepang, namun kita tetap luluskan banyak projek di sini,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Noh mendakwa sejak tahun lalu peruntukan untuk KPKT sangat terhad dan ia tidak boleh diagihkan kepada semua 222 kawasan parlimen di negara ini.

"Selepas mengadakan penyusunan, barulah peruntukan ini diagihkan kepada kawasan yang tidak dimenangi BN," katanya lagi.

Semalam, Malaysiakini melaporkan KPKT telah membatalkan semua kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan parlimen di mana BN tewas.

Mengikut pekeliling oleh Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar, yang bertarikh 17 Mac, semua projek BP 1 yang merujuk kepada projek-projek infrastruktur berskala kecil di peringkat majlis tempatan di kawasan Parlimen di mana BN tewas diarahkan supaya dibatalkan.

Mengulas lanjut, Noh menjelaskan pengagihan peruntukan dibuat berdasarkan keutamaan iaitu kepada wakil rakyat yang berjanji untuk melakukan pembangunan di kawasan tertentu sewaktu pilihan raya lalu.

"Sekiranya ada permohonan pemimpin pembangkang, kita akan cuba pertimbangkan dan sebagai contoh, kita juga luluskan projek di kawasan Ipoh Timur yang dikuasai pembangkang.

“Kenapa perkara ini perlu dipertikai?

"Saya mengalu-alukan dan bersedia berhadapan dengan individu kalangan parti pembangkang yang ingin membawa masalah perbelanjaan rakyat ini ke mahkamah untuk tindakan undang-undang," katanya.

Lihat Komen
ADS