Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar dihadapkan ke pasukan khas siasat skandal Forex

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa menghadap pasukan petugas khas Putrajaya bagi menyiasat kerugian pertukaran asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an hari ini.

Menurut anak sulungnya Nurul Izzah Anwar, keluarganya telah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai-pegawai penjara.

Berikutan itu, keluarganya telah bergegas ke Putrajaya tetapi tidak berjaya mendapatkan maklumat lanjut.

"Kami tidak dibenarkan untuk berjumpa beliau dan juga peguam R Sivarasa tidak dibenarkan untuk mewakili bapa saya semasa perbicaraan itu," kata Nurul kepada Malaysiakini.

Anwar menjadi menteri kewangan antara tahun 1991 dan 1998.

Beliau juga merupakan timbalan perdana menteri antara 1993 dan 1998 sebelum dipecat akibat tuduhan salahgunakuasa dan salahlaku seks.

Nurul mengulangi pendirian bapanyanya bahawa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat skandal berkenaan.

"Dan sesungguhnya tidak hanya memberi tumpuan kepada skandal sebelumnya, tetapi skandal berterusan (1MDB) yang mana Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mendapati kos kerugian sekurang-kurangnya RM39 bilion.

"RCI akan boleh diakses oleh orang ramai dan akan menjadi lebih telus dan terbuka. Kita pasti boleh belajar sebagai sebuah negara untuk memastikan skandal ​​itu tidak berulang pada masa akan datang," katanya.

Naib Presiden PKR itu menegaskan bahawa adalah penting untuk memahami kuasa pasukan petugas terbabit dan hasil daripada siasatan yang dijalankan.

Pasukan petugas berkenaan diketuai bekas ketua setiausaha negara, Tan Sri Sidek Hassan dan terdiri daripada wakil-wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Suruhanjaya Sekuriti.

Pasukan itu ditubuhkan untuk menyiasat kerugian daripada spekulasi mata wang oleh Bank Negara sekitar 1990-an.

Selain itu, ia juga akan menjalankan siasatan jsekiranya terdapat cubaan untuk menutup kerugian dan mengelirukan parlimen dengan mencadangkan tindakan selanjutnya diambil, jika perlu.

Sidek mengesahkan bahawa pasukan petugas itu akan menentukan sama ada Bank Negara telah mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan transaksi.

Ia juga akan meneliti organisasi serta individu yang dikaitkan dengan pengurusan transaksi itu dan sekiranya terdapat aktiviti yang tidak diingini berlaku.

Skandal forex Bank Negara berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri apabila bank pusat itu didakwa mengalami kerugian besar akibat spekulasi mata wang asing.

Pengkritik menyifatkan penubuhan pasukan petugas itu sebagai langkah politik di pihak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi memberi tekanan kepada Mahathir, yang telah mendesak pengunduran beliau.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS