Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta JPJ benarkan kompaun, mata demerit, kata menteri
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 6:57 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjelaskan Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 membolehkan pesalah jalan raya dikenakan dua hukuman serentak iaitu kompaun dan pemotongan mata demerit seperti yang dilaksanakan di bawah Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Sehubungan itu katanya, laporan yang mendakwa Awas bertentangan dengan prinsip undang-undang atau 'double jeopardy' seperti mana yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan, adalah tidak benar.

"Ia bukan 'double jeopardy' kerana Akta JPJ membolehkan kita kenakan kompaun dan potong markah," katanya yang dipetik Bernama.

Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan peguam AMANAH, Faiz Fadzli, berkata sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bagi kesalahan trafik adalah bertentangan dengan perlembagaan negara.

Katanya, pelaksanaan AWAS adalah bertentangan dengan prinsip keadilan undang-undang 'double jeopardy' seperti mana yang termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan kerana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik akan menghadapi dua hukuman serentak.

Sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara) bersama-sama dengan sistem penguatkuasaan automatik (AES), iaitu rangkaian kamera bagi merakamkan kenderaan yang melebihi had laju, membentuk sistem keselamatan kesedaran automatik (AWAS).

Mengulas dakwaan itu, Liow berkata, 'double jeopardy' yang dimaksudkan itu adalah mengenai dakwaan berganda di mahkamah atas kesalahan yang sama, sebaliknya di bawah sistem Awas, pesalah hanya akan dikenakan satu dakwaan sahaja.

Liow menasihati orang ramai supaya tidak keliru dengan pelaksanaan Awas yang menggabungkan rangkaian kamera bagi merakam kenderaan yang melebihi had laju iaitu sistem penguatkuasaan automatik (AES) dan sistem pemberian mata demerit keselamatan jalan raya (Kejara).

Katanya Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Seri Nadzri Siron telah diarahkan untuk memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai sistem Awas yang bermula Sabtu lepas (15 April) dari semasa ke semasa supaya tiada lagi kekeliruan.

Dalam perkembangan berkaiatan, JPJ turut menjelaskan bahawa pelaksanaan mata demerit tidak ada kaitan dengan kompaun atau sabitan oleh mahkamah bagi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Ketua Pengarah JPJ (Datuk Nadzri Siron) mempunyai kuasa menggunakan budi bicaranya untuk menggantung atau membatalkan lesen berdasarkan beberapa syarat yang ditetapkan Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta Pengangkutan Jalan, dalam menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu.

"Di bawah Seksyen 35 dan Seksyen 35A Akta 333 ini juga ditetapkan cara untuk Ketua Pengarah menentukan seseorang pemandu itu masih layak atau tidak untuk memegang lesen memandu iaitu melalui pemberian mata demerit. Justeru, sistem mata demerit ini tiada kaitan dengan penetapan hukuman (kompaun atau sabitan oleh mahkamah).

"Ini kerana kuasa Ketua Pengarah untuk menggantung atau membatalkan lesen hanya diguna berdasarkan mata demerit yang terkumpul dan bukannya terus ditetapkan berdasarkan sesuatu kesalahan yang dilakukan," katanya.

Sehubungan itu, JPJ menjelaskan bahawa bagi sistem mata demerit, isu 'double jeorpardy' tidak berbangkit sama sekali dan tiada kaitan dengan kuasa Ketua Pengarah dalam menggantung atau membatalkan lesen di bawah seksyen 35 dan 35A Akta 333.

JPJ mula melaksanakan sistem mata demerit pada 15 April lalu terhadap pemandu yang melakukan dua jenis kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.

Lihat Komen
ADS