Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Semangat 'tolak Ahok' membugar di Malaysia
Diterbitkan:  Apr 21, 2017 10:49 AM
Dikemaskini: 5:02 AM

Kemenangan bekas menteri Indonesia dan pasangannya dalam pilihan raya gabenor Jakarta kelmarin membuktikan isyarat kebangkitan Islam di Indonesia.

Ia juga ditafsir Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, sebagai bukti bahawa umat Islam akan bertindak dan menolak seseorang pemimpin yang menghina Islam.

"Pilihan raya gabenor Jakarta telah membuktikannya," kata beliau hari ini.

Anggota parlimen Temerloh itu berkata, kini semangat sama sedang "meniti umat Islam di Malaysia" ekoran isu cadangan meminda Akta 355 dan Akta 164.

Katanya, perkembangan isu berkenaan membuka mata rakyat di negara ini terhadap siapa yang menjadi lawan dan kawan yang benar-benar memperjuangkan Islam.

"Justeru, kebangkitan yang sama sedang membugar (untuk diterjemahkan) pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Pilihan raya Jakarta menyaksikan bekas menteri pendidikan Indonesia, Anies Baswedan, dan regunya, Sandiaga Uno, terpilih masing-masing sebagai gabenor dan timbalan gabenor kota raya berkenaan.

Mereka mengetepikan penyandang, Ahok yang berpasangan dengan Djarot Saiful Hidayah. Anies - Sandiaga memperoleh 58 peratus sokonngan pengundi berbanding lawannya yang hanya mendapat 42 peratus.

Isyarat kebangkitan Islam

Ahok - atau nama rasminya Basuki Tjahaja Purnama - adalah tokoh popular yang pernah menjadi timbalan kepada Joko Widodo ketika presiden Indonesia itu masih lagi bertugas sebagai gabenor Jakarta.

Bagaimanapun, Ahok yang menjadi tokoh bukan Islam dan pertama menjadi gabenor Jakarta terpalit dengan tuduhan menghina Islam ekoran ucapannya semasa berkempen dulu.

Kes berkenaan masih dibicarakan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pernah memetik nama Ahok ketika memperingatkan anggota Dewan Rakyat di negara ini dalam isu rang undang-undang persendiriannya bagi meminda Akta 355.

“Terdapat ahli-ahli politik bukan Islam yang saya percaya mereka tidak mewakili masyarakat bukan Islam sepenuhnya, (ia) lebih untuk mendapat keuntungan politik daripada kepentingan awam.

“Saya beri peringatan pada mereka jangan berlagak seperti Ahok di Jakarta,” tegasnya seperti dilapor Malaysiakini pada 24 November 2016.

Kata Nasrudin pertembungan kedua-dua calon pilihan raya gabenor Jakarta itu dianggap seperti buku bertemu ruas.

"Di atas kertas, Ahok adalah calon utama untuk menang. Pusingan pertama pilihan raya pada 15 Februari yang lalu menunjukkan Ahok memperoleh 44.17 peratus meninggalkan Anies 39.55 peratus, sementara anak bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (yang turut bertanding ketika itu) pula hanya memperoleh 16.27 peratus.

"Namun, kiraan awal pusingan kedua semalam menunjukkan Anies memperoleh undian jauh meninggalkan Ahok dengan 58 peratus berbanding Ahok hanya 42 peratus.

"Ini jelas menunjukkan signal kebangkitan Islam di sana. Apabila anda menghina agama Islam, jangan fikir umat Islam tidak akan bertindak menolak anda sebagai pemimpin," katanya.

Sementara itu Abdul Hadi berkata kemenangan Anies itu disambut dengan gembira atas nama "kesatuan umat Islam".

Katanya, Islam mengajar cara bermasyarakat majmuk dalam negara berbilang kaum dan agama.

"Wajib orang Islam tidak meruntuhkan binaan rumah ibadat orang bukan Islam, manakala orang bukan Islam juga wajib menghormati hak beragama orang Islam dan saling menjaga sensitiviti beragama," katanya.

Bersikap cauvinis dan beramal dengan politik perkauman sempit pula, katanya, hanya mengundang suasana tidak harmoni dalam masyarakat dan perlu dihalang daripada disuburkan.

Kata Abdul Hadi, PAS menaruh harapan tinggi kepada Anies dan Sandiaga supaya berlaku adil kepada semua dengan menjaga hak orang Islam dan bukan Islam kerana amalan itu dekat dengan sifat taqwa.

"Ingatlah umat Islam akan kuat apabila berpegang dengan ajaran Islam, dan menjadi lemah apabila meninggalkan perintah Allah," katanya.

Lihat Komen
ADS