Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Drama perlaksanaan sistem perundangan Islam yang mengambil bentuk usul persendirian YB Marang berhubung Akta 355 kelihatan menghampiri adegan penamatnya.

Pada peringkat kesudahannya, Umno/BN kelihatan sebagai pihak yang meraih keuntungan terbesar dengan pembangkang berada dalam keadaan berpecah dan tidak bersepakat.

Keutuhan Pakatan Rakyat yang telah mewarnai pilihan raya ke-13 pada 2013 sudah jelas hilang.

Yang sepatutnya mengambil tempatnya, iaitu Pakatan Harapan, masih dalam keadaan sedikit terumbang-ambing, khususnya berhubung hubungan dengan PAS.

Tindakan Umno/BN untuk menyasarkan PAS melalui isu perundangan Islam adalah satu master-stroke yang tidak boleh dinafikan mana-mana pihak.

Melaluinya bukan sahaja Pakatan berpecah, namun ketidaktentuan sikap terhadap PAS menyebabkan apa-apa tindak balas untuk menyelamatkan keadaan menjadi tidak padu dan kurang bersungguh-sungguh.

Kebergantungan terhadap PAS oleh pihak tertentu menyebabkan mereka tidak sanggup memutuskan hubungan dengan PAS secara muktamad walaupun itulah apa yang dituntut keadaan dan kebijaksanaan.

Dengan itu, tindakan AMANAH untuk turun sebagai pengganti kepada PAS terpaksa mengharungi jalan yang lebih sukar dari sepatutnya. Walaupun begitu, ia semakin menunjukkan hasil. Namun itu kisah lain.

Permulaan drama

Drama ‘perundangan Islam’ ini bermula pada bulan Oktober 2014, apabila Datuk Seri Jamil Khir Baharom mencadangkan supaya seorang anggota parlimen PAS dari Kelantan membawa usul persendirian memohon kebenaran Dewan Rakyat untuk Kelantan melaksanakan undang-undang yang berbeza dengan undang-undang persekutuan.

Jamil, sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri, membuat cadangan tersebut dalam Dewan Rakyat sambil menjanjikan bahawa anggota parlimen Umno akan menyokong usul persendirian tersebut sekiranya dibawa.

Menurut beliau, usul persendirian ini hendaklah dibawa atas perkara 76 (1)A Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan sanggup membantu ke arah itu melalui penubuhan jawatankuasa teknikal bersama antara kerajaan pusat dan negeri.

Cadangan Jamil disambut baik PAS, khususnya PAS Kelantan, yang melihatnya sebagai peluang keemasan untuk melaksanakan hudud dan oleh itu ia tidak boleh dilepaskan.

Jawatankuasa teknikal

Hasil cadangan tersebut maka sebuah jawatankuasa teknikal bersama ditubuhkan. Dalam perbincangan jawatankuasa itu, telah dipersetujui pindaan terhadap Akta 355 sebagai tindakan awal ke arah pencapaian matlamat perlaksanaan perundangan Islam di Kelantan.

Ini atas alasan pindaan terhadap Akta 355 hanya memerlukan majoriti mudah, sedangkan permohonan atas perkara 76 (1) A memerlukan sokongan dua pertiga ahli dewan.

Terbentuknya jawatankuasa ini dan keberlangsungan mesyuaratnya beberapa kali telah menyebabkan PAS Kelantan yakin dengan kesungguhan dan keikhlasan kerajaan Pusat dalam usaha membantunya ke arah perlaksanaan syariah Islam.

Menteri besar Kelantan begitu yakin dengan janji Umno/BN sehingga sanggup berjanji akan meletakkan jawatan sekiranya undang-undang Islam tidak dilaksanakan di Kelantan pada tahun 2015!

Cadangan untuk PAS membawa usul persendirian untuk meminda Akta 355 telah dibawa ke mesyuarat bulanan PAS Pusat.

Dalam mesyuarat tersebut ada beberapa ahli mesyuarat yang menyuarakan pandangan supaya usul itu dibawa oleh kerajaan.

Cadangan itu ditolak atas alasan kredit terhadap usul tersebut hendaklah menjadi milik PAS dan bukan milik Umno/BN.

Mesyuarat Majlis Presiden 2015

Pada Februari 2015, berita mengenai usul persendirian yang akan dibawa oleh PAS telah menjadi pengetahuan umum.

Oleh itu, apabila mesyuarat Majlis Presiden Pakatan diadakan pada bulan tersebut, maka pimpinan DAP bertanya mengenainya.

Presiden PAS telah mengesahkannya dan apabila diminta supaya draf usul berkenaan dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden terlebih dahulu sebelum dibawa ke parlimen, presiden PAS bersetuju.

Soal sama ada parti-parti rakan Pakatan bersetuju dengan isi kandungan usul persendirian tersebut atau sebaliknya adalah persoalan kedua.

Yang penting adalah supaya dimaklumkan terlebih dahulu supaya semua mengetahui isi kandungannya dan boleh menetapkan pendirian berhubungnya.

Malangnya persetujuan untuk membawanya terlebih dahulu ke mesyuarat Majlis Presiden telah diabaikan presiden PAS.

Pada bulan Mac, parlimen bersidang untuk sesi pertamanya bagi tahun 2015. Pada hari pertama sidang parlimen berkenaan didapati bahawa usul persendirian Marang, iaitu presiden PAS telah tertulis dalam peraturan mesyuarat persidangan!

ini menyebabkan pimpinan DAP mengeluarkan kenyataan “tidak boleh bekerjasama dengan seorang presiden PAS yang sebegini”.

Kenyataan DAP adalah atas sebab presiden PAS ‘cakap tidak serupa bikin’.

Perbalahan PAS dan DAP

Melalui peristiwa ini maka perbalahan PAS dan DAP mula mengambil pentas utama politik negara.

Presiden PAS mula menyerang DAP sebagai musuh Islam walaupun sebenarnya beliau yang tidak berpegang pada janji.

Hubungan antara PAS dan DAP menjadi semakin renggang dan golongan dalam PAS yang berusaha menyelamatkan hubungan tersebut turut diserang sebagai ‘khadam DAP’.

Pada masa sama, usul persendirian tersebut tidak diberi laluan untuk dibentangkan pada sesi berkenaan.

Ia kekal atas kertas sebagai peraturan mesyuarat tetapi tidak dapat walaupun dibaca oleh Hadi.

Sambil PAS dan DAP berentap, usul itu terus menjadi alat permainan dan teka-teki Umno/BN. Matlamat pertama sebalik cadangan usul persendirian yang dibawa oleh Jamil Khir telah mula membuahkan hasil.

Muktamar ‘pembersihan’ 2015

Pada muktamar PAS 2015, pimpinan yang mempertahankan kebersamaan PAS dalam Pakatan telah dijatuhkan secara setandan oleh perwakilan PAS.

Ini adalah hasil usaha yang telah dimulakan sejak sebelum 2013 lagi. Pada masa sama usul supaya diputuskan hubungan dengan DAP telah diluluskan muktamar berkenaan tanpa bahas.

Melalui dua tindakan ini maka strategi Umno untuk memecahkan Pakatan telah tercapai. Tiada lagi pimpinan yang akan bersuara mempertahankan keberadaan PAS bersama Pakatan.

Pada masa sama hubungan PAS dan DAP telah terputus tanpa adanya harapan untuk dipulihkan kembali.

Sambil ini semua berlaku, usul persendirian masih tidak dibenarkan untuk dibawa dalam parlimen. Ia kekal tertulis di atas kertas peraturan mesyuarat tetapi tidak diberi laluan walaupun untuk dibaca.

Sidang parlimen seterusnya

Usul persendirian yang dibawa Marang terus tertulis di atas kertas peraturan mesyuarat tanpa diberi laluan untuk dibentang dan dibahas dari sejak sidang pertama 2015 sehingga sidang terakhir, iaitu sidang bajet 2015.

Sambil itu hubungan PAS dan DAP menjadi semakin parah dan pimpinan PAS yang pro-Pakatan telah keluar PAS dan membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH).

Pada sidang pertama 2016, pada hari terakhir sesi berkenaan, Marang akhirnya dibenarkan membaca usul persendirian untuk meminda Akta 355.

Namun demikian, hanya sekadar membacanya dan seterusnya, meminta supaya perbahasan mengenainya ditunda ke sidang akan datang.

Ramai yang menjangkakan beliau mengikuti skrip yang telah ditetapkan Umno/BN dalam persoalan ini.

Pada sidang seterusnya sekali lagi usul tersebut didapati tertulis atas kertas peraturan mesyuarat tetapi sekali lagi ianya tidak diberi ruang untuk dibentang.

Pada sidang bajet 2016, usul persendirian telah dipinda buat kali keduanya dan kali ini mengandungi hukuman denda RM100,000 dan penjara 30 tahun serta sebat syarie 100 sebatan.

Pada sidang ini, Marang dibenarkan untuk membaca pindaan yang dibuat ke atas usulnya. Namun sekali lagi perbahasan ditunda ke sesi akan datang.

Sidang parlimen Mac 2017

Pada sidang Parlimen baru-baru ini, sekali lagi pada hari terakhirnya, Marang sekali lagi dibenarkan untuk membaca usul persendiriannya.

Kali ini dia dibenarkan membentangnya dan pembentangannya mengambil masa dalam 15 ke 20 minit.

Penyokong usul berkenaan, Kota Bharu, dibenarkan mensyarahkannya selama sejam setengah!

Selepas sahaja Kota Bharu mengakhiri syarahannya, maka speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang melalui kata-kata yang telah menjadi masyhur, iaitu, “If you have power, you are powerful. If you do not use the power, you are bloody fool”.

Dengan kata-kata sedemikian maka sidang ditamatkan dan perbahasan ditunda hingga ke sesi akan datang.

Dengan itu usul berkenaan tetap kekal sebagai usul persendirian yang belum dibahas dan jauh sekali diluluskan.

Walaupun disyarahnya selama hampir dua jam, hakikatnya tiada kemajuan dan statusnya seperti sejak asal.

Kesimpulan

Strategi Umno/BN menggunakan isu perlaksanaan syariat Islam untuk mengumpan PAS telah berjaya sepenuhnya. Pakatan telah berpecah sambil BN kekal bersatu.

Usul persendirian Marang sekiranya dibenarkan dibahas dan seterusnya diundi akan menyebabkan BN sendiri berpecah.

Maka dibenarkan setakat mana diperlukan oleh BN, ia itu cukup untuk memecahkan Pakatan dan melaga-lagakan pembangkang tetapi tidak untuk dibahas kerana perbahasan akan menyebabkan BN sendiri berpecah.

Oleh itu saya yakin bahawa kita telah melihat adegan terakhir drama Akta 355 ini. Tiada yang lebih yang perlu dilakukan Umno/BN. Matlamat mereka telah pun tercapai.

Melalui drama ini pembangkang telah berpecah dan PRU ke-14 akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru di hampir semua kerusi, khususnya di semenanjung dan di kerusi majoriti Melayu, iaitu kerusi yang ditandingi Umno.

Mengikut perkiraan Umno, bila pertandingan tiga penjuru ini berlaku, maka Umno akan menang hampir kesemua kerusi yang ditandinginya.

Saya berkeyakinan sekiranya Pakatan Harapan dapat membina kekuatannya sebagai gabungan empat parti, ia akan tetap merupakan pilihan bagi yang inginkan kerajaan baharu menggantikan BN.

Maka perancangan Umno/BN tetap masih boleh digagalkan.

PAS sebaliknya hampir pasti akan kehilangan semua kerusinya. Ini yang dikatakan pepatah Melayu, “menang sorak kampung tergadai”.

Inilah hasilnya percaya pada Umno dan melanggar pesanan almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.


KHALID SAMAD pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH). Artikel ini disiarkan kali perdana dalam blognya hari ini.

Ia pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS