Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Taraf PR Zakir Naik bukan bidang kuasa Subra, kata PAS
Diterbitkan:  Apr 21, 2017 2:50 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

PAS menasihati Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam supaya tidak mengeluarkan kenyataan terutamanya melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam di negara ini, kata ketua penerangannya, Nasrudin Hasan.

Ini berikutan kenyataan Subramaniam baru-baru ini yang mempersoalkan pemberikan status Pemastautin Tetap (PR) kepada pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik.

"Sebagai seorang yang menjawat menteri kesihatan, bukan bidang kuasa Datuk Seri Dr S Subramaniam untuk campur tangan dalam urusan ini.

"Dr Zakir Naik adalah seorang pendakwah dan penceramah yang diiktiraf kepakarannya dalam ilmu perbandingan agama dan sangat dihormati oleh para ulamak Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

"Sebagai seorang menteri juga sepatutnya beliau mengetahui dan memahami tatacara yang digunapakai bagi pemberian taraf pemastautin tetap kepada orang asing di negara ini," kata Nasrudin dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Subramaniam berkata Malaysia tidak memerlukan Zakir Naik kerana ulama di negara ini jauh lebih cekap dan berwibawa berbanding pendakwah berkenaan.

Presiden MIC itu juga memberi amaran bahawa kehadiran pendakwah kontroversi itu boleh mengancam perpaduan negara.

Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan telah memberi status PR kepada Zakir sejak lima tahun lalu.

Zakir sebelum ini dikaitkan dengan aktivit keganasan dan kini dihendaki pihak berkuasa India atas tuduhan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, seseorang yang diberi taraf PR mesti mempunyai permit masuk yang sah dikeluarkan Jabatan Imigresen dan memiliki pasport antarabangsa negara asal mereka.

"Taraf pemastautin tetap juga bukan hak kepada individu tetapi adalah satu anugerah oleh kerajaan Malaysia kepada warga asing tersebut.

"Antaranya disebabkan oleh seseorang itu mempunyai kelulusan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberikan perkhidmatan profesional dan kepakarannya kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara negara yang sedia ada," katanya.

Katanya, proses tersebut turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi seperti kementerian dalam negeri, polis, jabatan pendaftaran negara, Jabatan Imigresen dan lain-lain.

"Mengaitkan Dr Zakir Naik dengan keganasan dan pencetus ketegangan antara agama adalah suatu tuduhan dan semata-mata andaian yang bukan-bukan oleh S Subramaniam," katanya.

Lihat Komen
ADS