Tiada rombakan, exco baru Johor tak akan dilantik

       

Kerajaan Johor tidak bercadang merombak atau melantik Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri yang baharu berikutan peletakan jawatan Datuk Abd Latif Bandi sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan terus digalas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Md Jais Sarday seperti yang diumum ketika penyusunan semula Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, awal Mac lepas.

"Jawatan dan portfolio lain akan kekal sampai pilihan raya umum. Tiada cadangan untuk melakukan apa-apa rombakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kedai Harga Patut Muafakat Johor Cawangan Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, di Johor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan beliau sebagai ketua kerajaan negeri menerima peletakan jawatan Abd Latif kerana tidak mahu tumpuan Abd Latif yang juga ADUN Endau terhadap tugasnya dalam kerajaan negeri terganggu ekoran pertuduhan dan perbicaraan kes yang dihadapi.

Berkuat kuasa 12 Mac lepas, Md Jais dilantik memangku jawatan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Abd Latif bagi memastikan keberkesanan urusan kerajaan negeri.

Portfolio Pendidikan dan Penerangan yang disandang Md Jais pula diletakkan di bawah tanggungjawab Datuk Ayub Rahmat yang juga Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor manakala Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Mohamed pula memikul portfolio Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi yang dipegang Md Jais sebelum ini.

Penyusunan semula semua Exco tersebut telah mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Semalam, Mohamed Khaled mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan Abd Latif sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Abd Latif yang bercuti daripada jawatannnya sejak 1 Mac lepas, menerusi syarikat guaman Adzly & Co. semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kerajaan negeri susulan pendakwaan kes rasuah terhadapnya di Mahkamah Sesyen, di sini, dua hari lepas.

Sementara itu, mengenai Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan yang ditubuhkan kerajaan Johor bagi mengkaji prosedur berhubung pengagihan rumah dan hartanah di negeri ini, Mohamed Khaled berkata segala perkembangan butiran mengenainya akan diumum Md Jais kelak.

"Jawatankuasa ini sudah pun bermesyuarat tetapi Md Jais akan beri butirannya apabila tiba masanya termasuk penambahbaikan yang akan dilaksana. Sudah tentu saranan dan penambahbaikan yang akan dikaji bagi membawa kebaikan kepada rakyat," katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri turut menyambut baik cadangan penambahbaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan kelemahan sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor dapat diatasi.

Katanya setakat ini semua urusan perumahan termasuk permohonan pembelian rumah di negeri ini berjalan seperti biasa dan kerajaan negeri akan terus memantau projek perumahan mampu milik dan Bumiputera di negeri ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata satu kertas cadangan penambahbaikan akan dikemukakan pihaknya kepada kerajaan Johor minggu depan.

Ia berikutan SPRM mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor, yang dipercayai berlakunya gejala rasuah dan salah guna kuasa baru-baru ini.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda