Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ketepi perbezaan politik demi seni warisan Sabah'
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 9:06 AM
Dikemaskini: 1:08 AM

Perbezaan ideologi politik perlu diketepikan dalam usaha memartabat budaya seni warisan bangsa yang menjadi produk pelancongan dan penjana ekonomi setempat, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Nasir Sakaran.

Beliau berkata istilah masyarakat Bajau 'magtabang-tabang' (tolong-menolong) perlu dijadikan teras kehidupan dalam setiap diri masyarakat bagi bersama membangunkan warisan bangsa negeri walaupun berbeza latar belakang politik dan sosiobudaya.

"Walaupun wujud perbezaan politik, namun marilah kita bekerjasama dengan semangat kesatuan agar program tahunan seperti pesta Regatta Lepa ini terus mengangkat seni warisan masyarakat Bajau dan lebih membanggakan masyarakat Semporna.

"Marilah kita mendekati perkataan kata Mag Lami-lami dalam bahasa Bajau kita iaitu beramai-ramai dalam suasana harmoni kerana tanpa tanpa kerjasama dari pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat Semporna, pesta yang mengangkat daerah Semporna dan budaya Bajau ini akan menemui kesukaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Maglami-Lami sempena pesta dua hari Regatta Lepa Semporna kali ke-24 yang bermula lewat malam tadi.

Kira-kira 5,000 orang membanjiri Anjung Lepa bagi menyaksikan pelbagai persembahan termasuk pertandingan Ratu Lepa dan Arung Salamiah.

Sementara itu, Nasir berkata Pesta Regatta Lepa merupakan pesta budaya khazanah etnik Bajau di Semporna yang perlu dipelihara dan dipromosikan sebagai antara produk pelancongan negeri Sabah.

"Mempromosi keunikan seni kreatif tempatan juga merupakan satu langkah terbaik kerajaan negeri bagi mempelbagaikan rantaian produk pelancongan di Sabah, selain dapat menjana sosio ekonomi penduduk setempat," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kemampanan dan keberkesanan strategi kerajaan dalam membangunkan pelancongan Semporna perlu dihargai .

"Ini terbukti apabila terdapat peningkatan positif kemasukan pelancong setiap bulan menuju ke destinasi pelancongan kepulauan di sini seperti ke pulau Bohey Dulang, Mataking, Sibuan, Mabul dan Sipadan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS