Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Isu Zairil-Dyana: Rizal selar sikap DAP
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 2:14 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menyelar sikap DAP yang tidak mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas dua pemimpin Melayu parti itu yang berdepan dakwaan perbuatan tidak bermoral, baru-baru ini.

"Kata DAP parti yang 'bersih, berintegriti dan moral tinggi', kenapa parti itu tidak ambil tindakan ke atas Zairil (Khir Johari) dan Dyana (Sofya Mohd Daud) kerana melakukan perbuatan tak bermoral dan salah di sisi agama Islam.

"Walaupun Zairil dan Dyana tak mengaku, tetapi persepsi orang ramai termasuk penyokong pembangkang percaya 100 peratus dua individu itu adalah mereka berdua," kata beliau dalam catatan di laman Facebook miliknya.

Sebelum ini, Rizal yang juga pembantu kepada isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor memuat naik beberapa gambar yang mendakwa kedua-dua mereka mempunyai hubungan sulit.

“Perlu SD kah untuk membuktikan kisah ini?" soal Rizal dalam posting Facebook sebelum ini.

Dalam reaksinya berhubung penyebaran gambar-gambar itu, Zairil menafikan dirinya sebagai individu yang terdapat dalam gambar itu.

"Bukan, itu bukan saya. Ia jelas satu lagi percubaan untuk memfitnah saya dengan serangan peribadi.

"Ia adalah palsu," kata Zairil kepada Malaysiakini melalui mesej pesanan teks.

Wanita dalam gambar itu yang mirip Dyana Sofya Mohd Daud, masih belum mengesahkan atau menafikan jika sesungguhnya beliau adalah individu yang dirakamkan tersebut.

Siri gambar itu - memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah restoran, di mana sekeping daripadanya menggambarkan pasangan itu sedang bercumbu - menjadi tular di kalangan kumpulan sembang WhatsApp dan laman web pro-BN.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, tindakan tidak mengambil sebarang tindakan itu tidak membuktikan mereka sebagai lebih baik dari BN.

"Inikah parti yang mendakwa mereka lebih baik daripada BN untuk mentadbir apabila pemimpin yang melakukan perbuatan tidak bermoral dilepaskan begitu sahaja.

Kepada Zairil dan Dyana, Rizal menasihatkan mereka berdua agar melangsungkan perkahwinan yang sah ekoran telah digambarkan sedemikian.

"Kalau dah tahap macam tu elok kawinlah...jangan pulak habis madu sepah dibuang," tambahnya.

Lihat Komen
ADS