Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM67.4 juta bina 7 masjid di Selangor

Tujuh masjid baharu akan dibina di Selangor tahun ini membabitkan peruntukan RM67.4 juta, bagi memenuhi keperluan kariah kawasan berkenaan yang mengalami peningkatan jemaah yang ketara saban tahun.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim berkata setakat ini, negeri itu mempunyai 416 masjid dan tujuh masjid baharu tersebut adalah antara 19 yang akan dibina menjelang 2020 menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

"Semua 19 masjid baharu itu bakal memberi manfaat kepada lebih 4,000 jemaah untuk setiap masjid pada satu-satu masa...peruntukan sudah tersedia namun ia bergantung kepada lokasi dan keadaan semasa.

"Bagi tujuh masjid baharu yang mula dibina tahun ini, ada masjid kecil dijangka boleh beroperasi dalam tempoh setahun dan yang besar pula akan ambil masa kira-kira dua tahun," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pecah tanah Masjid Setia Alam di sini, bernilai RM18 juta yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut beliau, Masjid Setia Alam seluas dua hektar itu dibina atas keperluan mendesak ekoran pertambahan penduduk yang tinggi susulan pembukaan banyak kawasan perumahan baharu.

"Masjid dua tingkat ini boleh menampung sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa kerana kita rancang ia dibina dengan ruang yang lebih luas bagi kemudahan jemaah untuk solat Jumaat," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS