Lelaki lepaskan tiga das tembakan ke arah sami

       

Seorang penunggang motosikal melepaskan tiga das tembakan ke arah rumah seorang sami di Jalan Satu, Air Itam di George Town malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 malam itu, mangsa yang berusia 50 tahun dan merupakan sami di sebuah kuil sedang mencuci halaman rumahnya apabila seorang penunggang motosikal tiba di situ.

"Sebaik memberhentikan motosikalnya, lelaki itu terus melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa. Bagaimanapun tembakan itu tidak terkena sami berkenaan dan dia terus melarikan diri masuk ke dalam rumahnya serta menghubungi pihak polis.

"Penunggang itu turut memecut motosikalnya ke arah bandar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semasa kejadian, terdapat isteri dan tiga anak mangsa di dalam rumah itu.

Mior Faridalathrash berkata mangsa melaporkan dia tidak nampak muka penunggang tersebut yang memakai topi kaledar penuh di tambah pula dengan keadaan sekitar yang gelap.

"Dari siasatan awal, polis percaya kejadian berlaku ekoran perselisihan faham antara mangsa dengan seseorang yang dikenalinya. Kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata pihak polis sudah mengenal pasti suspek yang dipercayai merupakan penduduk di kawasan yang sama.

Beliau berkata usaha mengesan suspek yang dipercayai berusia lingkungan 50-an sedang giat dijalankan.

"Berdasarkan siasatan polis, kejadian itu dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek dengan sami berkenaan berhubung kutipan hasil wang di rumah ibadat. Suspek mendakwa mangsa tidak amanah dan menyeleweng duit kutipan," katanya.

Roslee berkata sami itu juga dilapor pernah beberapa kali menerima ugutan daripada lelaki berkenaan dan dia telah membuat laporan polis berhubung ugutan mahu mencedera dan membunuhnya sejak 2009.

"Namun laporan mangsa sebelum ini tidak cukup lengkap. Pihak polis telah memantau kes ugutan ini sejak dulu lagi. Cuma kali ini lelaki berkenaan bertindak lebih berani dengan melepaskan tembakan di rumah sami tersebut," katanya.

Beliau berkata terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan polis telah mendapatkan rakamannya.

Polis percaya kes berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, tambahnya.

Seorang jiran mangsa, K. Pragalathen, 30, berkata dia sekeluarga sedang menonton televisyen apabila terdengar letupan kuat sebanyak dua hingga tiga kali.

Katanya dia terus keluar dari rumahnya dan ternampak seorang lelaki menunggang motosikal, sebelum dia masuk semula ke dalam rumahnya.

"Saya ingat bunyi mercun yang dibakar sempena majlis kahwin di kuil berdekatan. Tetapi kira-kira sejam kemudian, ramai polis berada di luar rumah saya, baru kami tahu ada orang cuba tembak sami itu," katanya.-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda