Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akar umbi Umno kesal dikaitkan foto bercumbu
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 8:15 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Pemimpin akar umbi Umno kesal dengan dakwaan bahawa parti itu dan BN bertanggungjawab menyebarkan gambar intim yang menyerupai Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan pemimpin muda DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pagi ini, kumpulan Gerakan Akar Umbi Umno (Guam) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang yang menyebarkan gambar tersebut.

"Terdapat tuduhan di kalangan ahli-ahli DAP kononnya gambar tersebut telah dilakukan oleh jentera dan ahi Umno serta BN bagi menjatuhkan imej Zairil dan Dyana walhal tiada bukti yang boleh menyokong dakwaan tersebut.

"Tujuan laporan ini dibuat bagi meminta pihak polis bekerjasama dengan pihak SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) menyiasat penyebar gambar yang tular tersebut dan bagi membersihkan nama jentera dan ahli Umno serta BN," kata Pengerusi Guam Zulkarnain dalam laporan polisnya.

Foto yang didakwa memaparkan Zairil dan Dyana telah tersebar melalui pelbagai media sosial dan aplikasi telefon bimbit.

Zairil menafikan beliau adalah individu dalam gambar berkenaan.

Dyana tidak mengesahkan atau menafikan sama ada dia adalah individu di dalam gambar itu, sebaliknya berkata adalah menyedihkan apabila budaya politik Malaysia sampai ke tahap menceroboh kehidupan peribadi orang lain.

Bagaimanapun, terdapat cakap-cakap dalam kalangan anggota DAP bahawa episod itu memalukan parti tersebut dan boleh menjejaskan pencalonan pasangan itu pada pilihan raya umum akan datang.

Dyana sebelum ini pernah bertanding atas tiket DAP pada pilihan raya kecil Teluk Intan pada tahun 2014.

Lihat Komen
ADS