Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bimbang projek mega China jejaskan peniaga Melayu'

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ruhanie Ahmad menggesa kerajaan memantau projek dari China kerana kebimbangan ia boleh menjejaskan kedaulatan negara, malah peluang peniaga Melayu.

"Kebimbangan kami adakah pelaburan ini benar akan menjejaskan peluang pribumi dalam perniagaan," katanya kepada media selepas rundingan meja bulat mengenai kemasukan pelaburan China ke Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Rundingan meja bulat itu dihadiri oleh empat orang panel antaranya Presiden Institut Demokrasi & Hal Ehwal Ekonomi ( IDEAS) Wan Saiful Wan Jan serta Profesor Adjung Pengajian Ekonomi & Pembangunan Universiti Malaya Dr Kamil Salih.

Rundingan meja bulat itu menyaksikan kesemua panel bersetuju cadangan PERKASA agar kerajaaan melaksanakan Indeks Pencapaian Utama (KPI) setiap enam bulan sebagai cara melihat pencapaian pelaburan dari China.

Sementara itu, Presiden IDEAS Wan Saiful Wan turut bersependapat dengan PERKASA tetapi tidak menolak hakikat bahawa China antara pengaruh kuasa dunia baru.

"Bukan sahaja syarikat Melayu tapi yang bukan Melayu juga tidak mempunyai peluang untuk bersaing," jelasnya.

Pelaburan dari China ke Malaysia telah menimbulkan kebimbangan sejak kebelakangan ini, dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada projek-projek yang berkaitan dengan China seperti Gateway Melaka dan Forest City akan menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Projek Gateway Melaka bernilai RM43 bilion adalah usaha sama antara KAD Delopment Sdn Bhd miliki kerajaan Melaka dan syarikat tenaga China, PowerChina International.

Sementara itu, pemaju projek pembangunan RM400 bilion Forest City di Johor adalah Country Garden Holdings, pemaju ketiga terbesar di China.

Selain itu, China Communications Construction Co pula dianugerahkan kontrak Oktober lalu untuk membina Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer bernilai RM55 bilion.

China Railway Engineering Corp juga membeli 40 peratus pegangan dalam Pembangunan Bandar Malaysia 1MDB di Kuala Lumpur bernilai RM12.4 bilion tahun lepas.

Pada bulan November 2015, China General Nuclear Power Corp (CGN) membeli aset tenaga 1MDB bernilai RM9.83 bilion.

Lihat Komen
ADS