Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
BERSIH Sabah dakwa seminar dihalang polis
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 9:06 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

BERSIH Sabah mendakwa program Seminar Pengundi Bijak yang diadakan di daerah Kudat, Kota Marudu hari ini dihalang pihak polis.

Menurut Naib Pengerusi BERSIH 2.0 Sabah, Beverly Joeman, mereka telah menempah bilik serbaguna Perpustakaan Daerah Kudat, sebelum didatangi tiga anggota polis yang tidak membenarkan mereka meneruskan program tersebut.

"Apabila kami sampai di sana, pihak perpustakaan tiba-tiba membatalkan tempahan kami kerana mereka takut. Menurut mereka, dua tiga hari sebelum program kami, ada tiga pegawai polis yang memberi amaran kepada mereka.

"Amaran yang diberi adalah sekiranya mereka membenarkan seminar ini, mereka akan ditangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, beliau mendakwa anggota polis berkenaan juga meminta mereka menanggalkan baju BERSIH 5 yang dipakai sekiranya mahu meneruskan seminar tersebut.

"Kami mempersoal tindakan pihak polis yang dilihat kebudak-budakan dan mempertikai pakaian yang kami pakai.

"Adakah baju BERSIH yang kami gunakan menyalahi undang-undang negara atau adakah pakaian ini menghuru harakan negara?

"Pihak Polis tidak dapat memberikan jawapan kerana telah mendapat arahan untuk tidak membenarkan program tersebut diteruskan," dakwa beliau.

Polis, katanya, perlu menghormati dan membantu rakyat mengetahui lebih lanjut mengenai hak-hak perlembagaan dan bukan menggunakan ugutan untuk menyemai rasa takut di kalangan mereka.

Beliau juga menggesa pihak polis bertindak mengikut perlembagaan dan undang-undang, tanpa dipengaruhi keputusan mana-mana pemimpin politik.

Program Pengundi Bijak berkenaan kemudian dipindahkan ke sebuah restoran di Kudat.

Lihat Komen
ADS