Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERMATA perluas kempen jenayah seksual kanak-kanak
Diterbitkan:  Apr 22, 2017 9:53 PM
Dikemaskini: 2:02 PM

Program Permata Negara (PERMATA) akan meneruskan usaha untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap jenayah seksual terhadap golongan kanak-kanak di negara ini.

Penaungnya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, antara tindakan yang akan dilakukan adalah menerusi kempen media, penyebaran risalah dan mengeluarkan garis panduan tentang tanda-tanda awal untuk mengesan jenayah itu.

"Kita juga bercadang untuk melaksanakan program Minggu Kesedaran Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang antara pengisiannya adalah program ceramah, perbahasan dan kesenian.

"PERMATA juga akan menyediakan modul dan latihan bagi pengusaha Taska Permata Negara bagi mengesan tanda awal jenayah seksual kanak-kanak," katanya semasa berucap merasmikan pelancaran portal aduan jenayah itu, Pahangcakna.com di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan isteri Datin Seri Junaini Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Rosmah berkata kerajaan memandang serius kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan tindakan segera perlu dibendung segera walaupun ada ibu bapa yang enggan membuat aduan kerana mahu melindungi maruah keluarga dan melindungi mangsa.

Sedangkan tindakan itu, menurut isteri perdana menteri, boleh menganggu emosi mangsa dan jenayah itu berkemungkinan akan berlarutan sehingga kanak-kanak terbabit dewasa.

"Perbincangan mengenai jenayah seksual masih dianggap sensitif dan menjadi perkara 'taboo' dalam budaya masyarakat.

"Paling mengejutkan banyak kes melibatkan pelaku dikenali dan dipercayai oleh mangsa seperti keluarga, kenalan, jiran, orang dewasa di sekolah serta banyak kes tidak dilaporkan kerana mungkin demi menjaga air muka dan maruah keluarga," katanya.

Sehubungan itu, Rosmah melihat kewujudan Pahangcakna.com di bawah inisiatif Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai) yang diterajui Junaini sebagai bersesuaian dan bakal memudahkan rakyat mendapat maklumat dan membuat aduan.

"Portal ini sebagai landasan kepada rakyat untuk membuat aduan sama ada mangsa atau keluarga mangsa yang terbabit dengan jenayah terbabit supaya tindakan pantas dapat diambil bagi menangani kes berkenaan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS