Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS kata menteri BN ikut rentak DAP
Diterbitkan:  Apr 23, 2017 11:27 AM
Dikemaskini: 4:18 AM

PAS berkata, parti itu bimbang jika ada antara menteri dalam kabinet sekarang sudah mengikut rentak politik DAP kerana mempertikaikan hal ehwal Islam.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata kenyataan seorang menteri yang mempertikai pemberian taraf pemastautin tetap kepada Dr Zakir Naik sangat mengecewakan.

"Ia juga menunjukkan kegagalan dalam kebertanggungjawaban bersama oleh menteri kerajaan dalam membuat keputusan.

"Saya bimbang ada menteri kerajaan yang sudah mengikut rentak politik DAP mempertikaikan sesuatu yang berkaitan dengan Islam dan dakwahnya," kata beliau semalam.

Ada beberapa pihak atau kumpulan memang tidak senang dengan kedatangan Zakir ke negara ini dan memberikan ceramah mengenai Islam.

Biasanya ada beberapa orang akan melafaz syahadah memeluk Islam pada majlis terbuka Zakir - seorang tokoh pendakwah terkenal yang berdepan beberapa tuduhan jenayah di India.

Zakir kini menjadi buruan kerajaan India dan tuduhan ke atasnya belum dibuktikan di mahkamah.

PR tindakan tepat

Pada 18 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan pendakwah kelahiran Mumbai 51 tahun lalu itu memiliki taraf pemastatutin tetap (PR) di negara ini.

Status PR berkenaan diberikan kepada Zakir lebih lima tahun lalu.

Kata Khairuddin, seseorang pendakwah yang membawa misi kedamaian perlu dilindungi, terutama oleh sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

"Memberikan taraf PR kepada Zakir adalah tindakan yang tepat dan benar oleh kerajaan Malaysia bagi melindungi pendakwah," katanya.

Khairuddin yang juga Anggota Jawatankuasa Pusat PAS berkata, kenyataan seorang menteri yang mempertikai pemberian taraf PR kepada Zakir mengecewakan.

Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam dilaporkan memberi amaran kehadiran Zakir boleh mengancam perpaduan negara.

Beliau juga berkata, kehadiran Zakir tidak diperlukan di Malaysia kerana ulama di negara ini jauh lebih cekap dan sudah cukup berwibawa.

Seorang lagi tokoh yang turut mempertikaikan Zakir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy.

Lihat Komen
ADS