Paling Popular
Terkini

Tiada mana-mana parti yang menjadi dominan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) kata seorang daripada pemimpin kanan gabungan pembangkang itu hari ini.

Menurut Datuk Saifuddin Abdullah, tidak mungkin ada sesebuah parti dibenarkan menjadi terlalu berkuasa dalam HARAPAN kerana ia adalah model pada BN yang kini mentadbir negara.

Katanya PAKATAN dan BN adalah pertubuhan yang menggabungkan beberapa parti namun perbezaan antara keduanya perlulah ada.

"BN adalah gabungan berkonsepkan perkongsian kaum tetapi setiap kaum menguruskan kaum masing-masing, tetapi kita (HARAPAN) adalah gabungan parti pelbagai kaum yang setiap komponennya bekerjasama.

"Kita menangani semua orang setiap hari di mana-mana saja. Itulah Malaysia sebenar," katanya semasa berucap di Konvensyen HARAPAN Wiayah Persekutuan di Taman Maluri, Kuala Lumpur hari ini.

Kira-kira 250 orang perwakilan dari PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menghadirinya.

Untuk rekod, Saifuddin - bekas anggota Majlis Tertinggi Umno dan timbalan menteri - adalah Ketua Setiausaha Sekretariat HARAPAN.

Menurut beliau, langkah yang ditetapkan itu adalah antara strategi HARAPAN mendapatkan sokongan semua pihak bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang diramal diadakan tidak lama lagi.

Dengan penyertaan BBERSATU juga, Saifuddin berkata, HARAPAN menjangkakan manifesto bersama dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya, matlamat HARAPAN ketika ini bukan sekadar mengetepikan BN dan memenangi PRU ke-14 semata-mata.

Sebaliknya, kata Saifuddin, gabungan itu ingin membawa perubahan kepada sistem politik yang baru.

"Kita tidak boleh abaikan gambaran sebenar (politik negara).

"Kita mesti sentiasa ingat kepada agenda besar reformasi, menegakkan keadilan dan sebagainya," katanya.

Lihat Komen
ADS