Paling Popular
Terkini

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini memetik ayat al-Quran bagi menasihati Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Nasihat tersebut dibuat ekoran kelantangan Mohd Asri melalui puisi beliau kelmarin mengenai "penyembah lembu" yang menyebabkan kemarahan penganut Hindu.

"Janganlah, kita negara yang berbilang kaum dan agama. Ingat kepada ayat al-Quran yang mengatakan agama kamu, agama kamulah, agama aku, agama akulah," tegas menteri Wilayah Persekutuan itu ketika diminta mengulas berhubung kontroversi terbaru melibatkan Mohd Asri.

Tengku Adnan yang popular dengan gelaran Ku Nan berkata demikian selepas majlis perasmian Karnival Ceria dan Sukan Komuniti Jom Bantu Rakyat di Perumahan Awam Seri Johor, Bandar Tun Razak, hari ini.

Jumaat lalu, Mohd Asri memuat naik status di Facebook beliau berupa puisi yang menyebabkan kemarahan beberapa pihak.

Dalam tulisannya itu, mufti yang juga dikenali dengan panggilan Dr Maza itu menyentuh mengenai "penyembah lembu" yang menyebabkan kemarahan penganut Hindu.

Bagaimanapun beliau kemudian menjelaskan kenyataan itu merujuk kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.

Namun, selepas sehari ia dipaparkan mendapati "Puisi Pagi Jumaat" itu sudah tiada pada paparan Facebook Mohd Asri.

Ekoran kenyataan Mohd Asri itu juga, kira-kira 40 wakil NGO dan aktivis membuat laporan polis terhadap beliau.

Antara lain, laporan tersebut mendakwa mufti itu membuat ucapan berunsur hasutan yang bertujuan untuk menyebarkan kebencian umat Islam terhadap agama Hindu.

Lihat Komen
ADS