Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tolak ekstremis agama, kata Zahid Hamidi
Diterbitkan:  Apr 23, 2017 5:52 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu rakyat Malaysia menolak sebarang bentuk usaha untuk mewujudkan ekstremis agama yang boleh mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian negara.

Beliau berkata rakyat perlu menghargai dan meraikan perbezaan bahasa, budaya dan agama yang telah menjadi lambang kekuatan dan perpaduan kaum di negara ini sejak sekian lama.

"Kita perlu ketepikan perbezaan dalam kalangan kita. Kita tidak mahu ekstremis sama ada dari Islam, Buddha, Kristian dan sebagainya kerana kita mahu wujudkan keamanan di Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum ini," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Ugadi 2017 di Dataran Merdeka, hari ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam, Presiden MyPP Tan Sri M.Kayveas dan Presiden Telugu Malaysia Datuk Dr Achaiah Kumar Rao.

Hari Ugadi disambut kira-kira 400,00 komuniti Telegu di seluruh negara pada 29 Mac lepas.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata himpunan komuniti Telugu membuktikan bahawa rakyat Malaysia menghargai perbezaan etnik dan agama.

"Ini adalah manifestasi bahawa kita semua harus diberikan peluang untuk meraikan kebudayaan masing-masing. Malah, bahasa ibunda mesti diajar di peringkat sekolah rendah.

"Saya yakin ini adalah dasar pendidikan negara bahawa bahasa ibunda boleh diamal dan digalakkan untuk tujuan pembelajaran. Ini bukanlah untuk memetakkan (membezakan) masyarakat sebaliknya kita saling menghargai setiap etnik negara," katanya.

Ribuan komuniti Telugu hari ini membanjiri Dataran Merdeka bagi meraikan Karnival Ugadi yang diserikan dengan persembahan kebudayaan, nyanyian, muzik serta jualan makanan dan minuman.

- Bernama

Lihat Komen
ADS