Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Antara perkara penting yang menjadi fokus rakyat Johor pada masa ini adalah sejauh manakah pengurusan tanah di negeri itu dilaksanakan secara berkesan.

Ini kerana realiti yang dilihat rakyat sangat berbeza. Pengurusannya bukan saja tidak baik, malahan gagal mengikuti syarat-syarat tanah negeri Johor.

Pengurusan tanah yang cacamarba akan menyebabkan pembangunan negeri tidak seimbang. Ia bukan saja memberi kesan kepada hasil kerajaan negeri, bahkan membawa kesan buruk kepada ekonomi dan sosial rakyat Johor pada masa akan datang.

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa kerajaan Johor gagal mengutip hasil tanah sebanyak RM2.94 juta dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini kerana mengikut Seksyen 124(8) Kanun Tanah Negara (KTN), sewa dan premium pada mana-mana arahan dikeluarkan pihak berkuasa negeri perlu dibayar dalam tempoh enam bulan dari tarikh penyampaian borang 7G (Notis Pembayaran).

Daripada laporan ini menunjukkan kemungkinan berlaku ketirisan. Jika pemohon gagal menjelaskannya dalam tempoh yang ditetapkan, kelulusan akan terbatal.

Semakan audit mendapati 29 permohonan ubah syarat tanah yang diluluskan pada 2013 hingga 2015 membabitkan bayaran RM2.94 juta tidak dijelaskan.

Di samping itu, situasi pelanggaran syarat tanah juga menjadi fenomena yang tidak terurus dengan baik. Semakan audit menunjukkan Johor Bahru dan Segamat merekodkan 144 pemohon mengubah syarat tanah - sama ada untuk pertanian, bangunan atau industri - telah melanggar syarat.

Kelemahan pengurusan ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan ribu ringgit. Mengikut laporan tanah, sesebuah premis gudang bersaiz lebih 3.5 hektar dan dua lot boleh menyumbang hasil sebanyak RM18,279 setiap tahun. Malangnya disebabkan kemungkinan berlakunya ketirisan, maka hasil ini hanya RM175 setahun.

Saya percaya badan-badan audit serta penasihat profesional luar seperti Deloitte, Pricewarterhouse Coopers, Institut Akauntan Malaysia, Pesatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda), Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dan Worldwide Consumers Association Johor perlu dilibatkan.

Usaha ini bertujuan untuk melahirkan kualiti kepimpinan kerajaan negeri yang terbaik agar negeri dan rakyat mendapat manfaat yang lebih baik.

Bermacam-macam projek kebajikan untuk rakyat boleh dibuat sekiranya Johor berjaya ditadbir dengan lebih cekap dan bersih pada hari ini.

Saya juga percaya perubahan perlu dilakukan untuk mengembalikan kecekapan dan urus tadbir yang bersih di negeri Johor yang tercinta ini.


SALAHUDDIN AYUB ialah timbalan presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS