Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 26 Julai ini untuk pengurusan kes berhubung tuduhan rasuah membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon.

Perbicaraan ditetapkan pada 27 April di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bagi membolehkan rayuan Lim dan Phang untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Kami merancang untuk mencabar Akta SPRM ke Mahkamah Persekutuan," kata peguam Lim, RSN Rayer selepas tarikh ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Phang diwakili peguam Hisham Teh, manakala Masry Daud bertindak selaku timbalan pendakwaraya.

Bulan lalu, Hadhariah membenarkan permohonan peguam Lim, Gobind Singh Deo untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Ini selepas Mahkamah Tinggi menolak petisyen Lim dan Phang pada 7 Mac untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM "tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah".

Seksyen 62 menyatakan bahawa apabila pihak pendakwaan mengemukakan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tertuduh hendaklah, sebelum perbicaraan bermula, mengemukakan (a) pernyataan pembelaan dan (b) suatu salinan apa-apa dokumen yang boleh dibentangkan sebagai sebahagian daripada keterangan bagi pembelaan.

Dua tuduhan rasuah

Pada 30 Jun tahun lalu, Lim mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan rasuah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan dan pembelian sebuah banglo RM2.8 juta di bawah nilai pasaran.

Lim didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan untuk dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan penukaran tanah di Balik Pulau untuk Magnificent Emblem Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang pada 18 Julai 2014.

Jika sabit kesalahan, Lim berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan kedua terhadap Lim melibatkan tuduhan membeli sebuah banglo di Jalan Pinhorn pada 28 Julai 2015 dari Phang, yang memiliki 30 peratus kepentingan dalam Magnificent Emblem.

Lihat Komen
ADS