Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bangsa Johor berdukacita atas pemergian 'imam cilik'
Diterbitkan:  Apr 26, 2017 4:06 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor berdukacita atas pemergian 'imam cilik' Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi ke rahmatullah sebentar tadi, kata exco Johor Datuk Ayub Rahmat.

Pengerusi jawatankuasa kesihatan, alam sekitar, pendidikan dan penerangan negeri itu juga mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga.

“Hasrat dan impiannya menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup seharian amatlah terpuji dan sama samalah kita berdoa semoga Allah menempatkan-Nya dalam kalangan insan yang bertaqwa dan beriman,” katanya.

Thaqif, pelajar sebuah madrasah tahfiz persendirian di Johor Bahru, dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden.

Allahyarham dimasukkan ke hospital Rabu lalu susulan dakwaan dipukul menyebabkan kecederaan dan jangkitan sehingga kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong.

Keadaan sama mungkin melibatkan tangannya yang hitam hingga ke paras siku. Bagaimanapun pembedahan itu ditangguhkan hari ini berikutan keadaan jantungnya dilapor tidak stabil.

Polis Kota Tinggi setakat ini masih menahan reman pembantu madrasah itu bagi melengkapkan siasatan terhadap kes itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ayub juga berkata kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga telah memberikan sumbangan bagi membantu keluarga menghadapi detik sukar ini.

Beliau juga memaklumkan allahyarham meninggal dunia pada jam 2.05 petang dan akan dibawa pulang ke rumah selepas semua urusan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru selesai.

Sementara itu, di alam maya, takziah mencurah-curah disampaikan orang ramai, termasuk daripada pemimpin politik.

Datuk Seri Azalina Othman Said
Menteri di Jabatan Perdana Menteri


“Amat menyedihkan. Sayu sayu mendengarnya. Anak-anak adalah amanah yang perlu dijaga sama ada kita sebagai ibu bapa, guru atau sebagainya. Al-Fatihah.”

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri

“Menerima berita sedih pemergian adik Mohamad Thaqif Amin ke rahmatullah. Takziah pada keluarga, semoga ditemptkn bserama para syuhada. Al-Fatihah.”

Rafizi Ramli
Naib Presiden PKR

“Saya menangis dalam hati dengan kembalinya allahyarham adik Thaqif. Apa tindakan masyarakat setiap kali kejadian menyayat hati berlaku?”

Teo Nie Ching
Anggota parlimen Kulai

“Salam takziah kepada seluruh keluarga allahyarham. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman dan soleh. We must not allow such tragedy to happen. (Kita tidak harus biarkan tragedi sebegini berlaku).

Lihat Komen
ADS