Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Ada surat sahkan Aabar BVI anak syarikat IPIC

EKSKLUSIF Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan kewujudan sepucuk surat yang mengesahkan Aabar Investments PJS Ltd (BVI) anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC), walaupun syarikat Abu Dhabi itu menafikannya.

Katanya, berdasarkan rekod dibekalkan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum perjanjian penyelesaian, Aabar Investments PJS Ltd (BVI) ialah anak syarikat IPIC.

“Malah, ia disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” katanya kepada Malaysiakini.

Johari, yang menyelia pelan rasionalisasi 1MDB berkata, atas sebab itulah Kementerian Kewangan memutuskan untuk meneruskan prosiding timbang tara.

Pendedahan menteri membuatkan sumber yang mengetahui perkara itu mempersoalkan kenapa pasukan Malaysia menerima penyelesaian dengan IPIC, walaupun mempunyai bukti kukuh untuk memenangi kes.

Ini, kata sumber, mencadangkan bahawa IPIC mungkin mempunyai kelebihan sendiri.

Jika proses timbang tara diteruskan dan isu itu diheret lebih panjang, ia mungkin membawa IPIC kepada penelitian pada destinasi terakhir dana itu selepas dipindahkan ke Aabar BVI.

Ini mungkin melibatkan beberapa personaliti di pihak Malaysia terdedah.

Sementara itu, Johari sejak Ogos lalu telah menyatakan keyakinannya bahawa 1MDB akan berjaya dalam proses timbang tara dengan IPIC susulan pemilikan “dokumen” yang dimiliki mereka.

Johari ketika itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas jenis dokumen itu.

Antara 2012 hingga 2014, 1MDB telah membuat beberapa pembayaran bernilai AS$3.51 bilion kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) (Aabar BVI), yang namanya hampir sama dengan anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS (Aabar).

Pemilikan sebenar Aabar BVI tidak dipastikan dengan jelas ketika IPIC menafikan mempunyai kaitan dengannya.

Pengarah-pengarah Aabar BVI, Kadem Abdullah al-Qubaisi dan Mohamad Ahmed Badawi Al-Husseiny turut mempunyai jawatan dalam syarikat Aabar yang sah tetapi dipecat kemudiannya.

Masih tidak jelas sama ada kedua-dua individu itu menyalahgunakan kuasa mereka untuk mendaftar Aabar BVI bawah nama IPIC.

Malaysia, dalam timbang tara itu, berhujah bahawa Aabar BVI memang anak syarikat IPIC yang menerima AS$3.51 bilion dan ini dapat menyelesaikan sebahagian tuntutan AS$6.5 bilion terhadap 1MDB.

Tuntutan IPIC termasuk AS$3.5 bilion bayaran pokok terhadap dua bon dan AS$1.3 bilion untuk kepentingan masa hadapan, atas andaian dana Malaysia itu gagal membuat bayaran, dalam satu lagi bayaran opsyen penamatan bernilai AS$481 juga.

Langkah pasukan Malaysia

Pasukan Malaysia, dalam penyelesaian terkini kelihatan membatalkan rancangan untuk menggunakan bayaran terhadap Aabar BVI – jika ia benar-benar milik IPIC – sebagai sebagai reaksi terhadap tuntutan IPIC itu.

Sebaliknya, pengumuman IPIC kepada Bursa Saham London berkata bayaran untuk Aabar BVI akan dibincangkan kemudian.

Ini berdasarkan ayat digunakan dalam pengumuman itu: “Pihak-pihak bersetuju berbincang dengan niat yang baik berkaitan bayaran-bayaran dibuat oleh Kumpulan 1MDB kepada pihak-pihak tertentu”.

Malaysiakini difahamkan bahawa keputusan penyelesaian itu dibuat baru-baru ini.

Johari, yang mendukung timbang tara itu, dilihat menjarakkan dirinya daripada keputusan itu.

“Seperti saya maklumkan sebelum ini, saya tidak terlibat dalam proses rundingan antara IPIC, 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri berkaitan penyelesaian dengan IPIC, oleh itu saya tidak dapat berikan sebarang maklumat,” katanya.

Walaupun begitu, Johari menjadi sasaran kritikan susulan peranannya sebagai jurucakap kerajaan dalam rancangan rasionalisasi 1MDB.

Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua antaranya mempersoalkan apa sudah jadi terhadap keyakinan Johari bahawa Malaysia boleh menang dalam proses timbang tara itu dan apa yang berlaku kepada wang RM3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar BVI.

Menjawab perkara itu, Johari berkata, lebih baik Pua sebagai anggota PAC menyalurkan soalan itu langsung kepada anggota lembaga dan pengurusan 1MDB atau Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkaitan perkara itu.

“Saya haya akan jawab soalannya jika saya ada fakta,” katanya.

Akbar Singapura Straits Times menamakan pengarah bahagian ekonomi PMO Amhari Efendi Nazaruddin senahai individu utama terlibat dalam rundingan penyelesaian itu.

Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada Amhari bertindak demikian atau sebagai orang tengah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan.

Ketika ditanya berkaitan peranannya, Amhari meminta perkara itu diajukan terus kepada setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Shah Tengku Ahmad.

“Saya tidak dapat jawab perkara itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Sariffuddin pula tidak memberikan maklum balas terhadap cubaan Malaysiakini menghubunginya itu.

Individu utama lain terlibat dalam rundingan itu adalah Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga ketua setiausaha perbendaharaan serta Pengerusi EksekutiF Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Kedua-dua mereka juga tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen daripada Malaysiakini.

Kenyataan rapi

Kerajaan dan 1MDB setakat ini terperangkap dengan kenyataan yang disusun rapi sejurus selepas penyelesaian itu diumumkan pada Isnin lalu.

1MDB dalam satu kenyataan berkata penyelesaian timbang tara itu “memaparkan resolusi satu cabaran besar dan menjadi bahagian penting dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang kini di peringkat akhir untuk disempurnakan.”

Sementara itu, Tengku Sariffuddin dalam kenyataannya memuji perkembangan penting itu yang katanya, menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya.

Tidak ada satu pun kenyataan berkenaan menyentuh mengenai apa yang berlaku terhadap wang AS$3.51 bilion yang telah dibayar kepada Aabar BVI, yang masih belum dipertanggungjawabkan.

Menurut Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat, Aabar BVI digunakan sebagai saluran untuk mengalihkan wang daripada 1MDB.

Saman DOJ mencatatkan bagaimana kira-kira AS$1.367 bilion daripada AS$3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar BVI melalui beberapa perantara, berakhir dengan pegawai-pegawai Aabar dan 1MDB.

Menurut saman itu, antara yang mendapat manfaat adalah Red Granite, sebuah syarikat milik Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada Najib yang juga disebut sebagai "Malaysian Official 1" (MO1).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga pernah mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib.

Najib bagaimanapun konsisten dalam menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Meskipun siasatan DOJ menunjukkan bahawa dana yang dihantar kepada Aabar BVI kemudiannya disalah guna, 1MDB bertegas, sepanjang pengetahuan syarikat itu, wang berkenaan telah dibayar.

Hujah sama digunakan dalam menegaskan bahawa dakwaan balas berhubung tuduhan IPIC, berdasarkan kepercayaan bahawa ini boleh membuktikan bahawa Aabar BVI sememangnya dimiliki oleh IPIC.

Lihat Komen
ADS