Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Setelah diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat 29 Mac lalu, Rang Undang-undang (Pindaan) Kebankrapan 2016 yang antara lain memberi perlindungan kebankrapan terhadap penjamin sosial dilulus Dewan Negara hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang tersebut berkata di bawah pindaan akta itu penjamin sosial tidak boleh diisytiharkan bankrap kerana mereka ini tidak mendapat apa-apa keuntungan dan menjamin pinjaman individu atas dasar kemanusiaan.

"Mereka ini menjadi mangsa, kadang-kadang sebab kesian, yang pinjam orang lain, yang kena orang lain (penjamin).

"Kerajaan peka akan hal ini dan berpendapat mereka ini tidak lagi boleh diberi 'keseksaan di dunia', maka dengan rang undang-undang ini, penjamin sosial ini akan mendapat perlindungan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata penjamin sosial masih berhadapan dengan proses undang-undang yang lain bagi mengelak mereka menyalahgunakan pindaan undang-undang ini.

Menurut Azalina di bawah rang undang-undang itu juga, jumlah maksimum bankrap dinaikkan kepada RM50,000 daripada RM30,000 sebelum ini.

Menurutnya jumlah ini dilihat wajar buat masa sekarang dan kemungkinan berpeluang dinaikkan pada pindaan di masa depan.

Terdahulu, perbahasan rang undang-undang tersebut menarik perhatian 15 anggota dewan antaranya Senator Datin Rahimah Mahamad, Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff, Senator Azizah Harun dan Senator Siti Aishah Shaik Ismail.

Siti Aishah dalam perbahasannya meminta kerajaan menimbangkan kelonggaran pelepasan kepada inidvidu yang diisytiharkan bankrap untuk mereka menunaikan umrah atau haji.

"Mereka ini perlu diberi kelonggaran dan berharap kerajaan dapat meneliti perkara ini," katanya.

Sebelum itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Razali Ibrahim ketika membentangkan rang undang-undang ini untuk bacaan kali kedua berkata kerajaan mempertimbang lapan perubahan dasar untuk meminda rang undang-undang itu termasuk menghalang tindakan kebankrapan terhadap penjamin sosial dan menaikkan nilai minimum kebankrapan.

Rang undang-undang tersebut kemudian diluluskan dewan tanpa sebarang pindaan. -Bernama

Lihat Komen
ADS