Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tol PLUS, Elite kini transaksi elektronik sepenuhnya

Sebanyak 71 plaza tol di lebuh raya kendalian Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) melibatkan laluan Juru-Skudai termasuk lebuh raya Elite beroperasi secara transaksi elektronik sepenuhnya mulai 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata dengan pelaksanaan fasa terakhir ini bermakna kesemua 94 plaza tol PLUS kini dikendalikan secara elektronik.

Beliau berkata selepas ini tiada lagi transaksi tol secara tunai dan orang ramai hanya boleh membayar tol secara elektronik dengan menggunakan kad PLUSMiles, Touch 'n Go dan Smart Tag sahaja.

Langkah ini bagi membantu pengguna lebuh raya membuat transaksi dan melalui plaza tol dengan lebih mudah dan selesa.

"Sistem pembayaran tol secara elektronik adalah 300 peratus lebih pantas daripada pembayaran tol secara manual atau tunai," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pelaksanaan transaksi lebih pantas di Plaza Tol Sungai Besi di Kuala Lumpur.

Azman berkata satu lorong Smart Tag berupaya mengendalikan kira-kira 16 kenderaan dalam tempoh satu minit (atau 1,000 kenderaan setiap jam).

Touch 'n Go pula boleh mengendalikan kira-kira 10 kenderaan setiap minit (atau 600 kenderaan setiap jam) manakala Lorong Tunai (lorong keluar) hanya mampu mengendalikan tiga kenderaan dalam masa seminit (180 transaksi satu jam).

"Lorong jualan dan tambah nilai di plaza akan dibuka bagi membantu orang ramai yang tidak mempunyai kad elektronik memasuki lebuh raya dan membayar tol.

"Saya menasihatkan pengguna yang mempunyai kad berkenaan supaya menambah nilai kad masing-masing sebelum memasuki lebuh raya dan tidak perlu beratur di lorong Tambah Nilai," katanya.

Beliau berkata ketika ini terdapat lebih 9,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara yang meliputi mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam dan lain-lain lagi.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata PLUS tidak akan memberhentikan jurutol sedia ada berikutan pelaksanaan ini.

"Mereka diperlukan untuk membantu pengguna lebuh raya yang menghadapi masalah di lorong tol malah ada juga kakitangan yang dipindahkan ke plaza tol berdekatan mengikut keperluan operasi," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS