Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang tidak berpijak di bumi nyata, kata Najib
Diterbitkan:  Apr 27, 2017 6:06 AM
Dikemaskini: 10:16 PM

Pembangkang hanya tahu menabur janji tanpa perlu membuktikannya melalui fakta untuk menarik sokongan politik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas mengenai penentangan berterusan pembangkang terhadap pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), perdana menteri berkata pembangkang mempolitikkan isu itu tanpa "berpijak di bumi yang nyata".

"Jika kita tolak GST bermakna kita tolak lebih RM50 bilion setahun dari bajet (RM260 bilion) sekaligus kerajaan memang tidak boleh berfungsi dan berkhidmat kepada rakyat.

"RM260 bilion tolak RM50 bilion tinggal RM210 bilion sahaja. Hendak bayar elaun penjawat awam pun tidak mencukupi. Perkiraan pembangkang bersifat politik. Bukan kenyataan dan relevan," kata perdana menteri.

Najib yang juga presiden Umno berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi.

Mengulas lanjut tindakan pembangkang mempolitikkan isu GST demi kepentingan politik mereka, perdana menteri berkata rakyat perlu berwaspada apabila dijanjikan dengan pelbagai gula-gula dari pembangkang untuk meraih sokongan politik.

Jelasnya, kerajaan perlu berdiri di atas sumber dan hasil yang kukuh seperti GST untuk membangunkan negara seperti dalam bidang keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

"Mereka boleh janji sesuatu yang mana mereka tidak perlu buktikan melalui fakta sebenar atau tidak berpijak di bumi yang nyata. Mereka hanya cakap apa mereka suka asalkan apa mereka cakap itu orang sedap dengar. Apa yang mereka cakap hanya untuk mengejar sokongan semata-mata," katanya.

Turut hadir Naib Presiden parti yang menjalankan tugas timbalan presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ketua-ketua sayap.

Mengulas lanjut mengenai mesyuarat malam tadi, Najib berkata ia lebih memberi tumpuan kepada usaha untuk menjayakan himpunan raksasa sempena sambutan ulang tahun KE-71 Umno di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei ini.

Katanya, kira-kira 100,000 ahli akan membanjiri stadium itu dengan 'lautan merah' sebagai tanda komitmen tinggi anggota parti untuk terus berjuang mencapai kejayaan sehingga pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Najib berkata mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung sejak dimulakan 17 Mac lepas telah berjalan dengan baik malah bilangan ahli Umno juga semakin meningkat dan mendadak tahun ini namun tidak mendedahkan jumlah sebenar.

Najib berkata mesyuarat malam tadi juga turut membincangkan hal berkaitan persiapan PRU14, politik dan ekonomi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS