Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
24 kes jenayah seksual kanak-kanak di Melaka
Diterbitkan:  Apr 28, 2017 6:07 AM
Dikemaskini: Apr 28, 2017 3:09 AM

Sebanyak 24 kes jenayah seksual kanak-kanak telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka untuk perlindungan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata sebanyak 55 kes jenayah seksual telah dilaporkan kepada JKM Melaka tahun lepas dan kerajaan negeri menerusi agensi yang berkaitan akan berusaha memastikan keselamatan kanak-kanak terutamanya di negeri ini terjamin.

"Sehubungan itu, keselamatan kanak-kanak bukan hanya terletak pada agensi kerajaan malah masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjaga dan melindungi kanak-kanak," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Hentikan Jenayah Seksual Kanak-kanak Peringkat Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh semalam.

Beliau berkata perkembangan laman sosial termasuk WeChat dan Facebook turut menyumbang kepada ancaman jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang antara lain menjadi 'lubuk' buat golongan pelaku seksual kanak-kanak mengumpan mangsa mereka.

"Kecenderungan ibu bapa masa kini yang gemar memuat naik gambar anak mereka di media sosial tanpa menyedari kelakuan itu (boleh) mengumpan golongan pedofilia yang tidak ubah seperti seekor binatang," katanya.

Justeru katanya ibu bapa diminta agar mengambil iktibar daripada kes-kes yang dilaporkan supaya tidak menyumbang kepada peningkatan peratusan mangsa jenayah seksual di negara ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS