Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemeriksaan penuh imigresen di lapangan terbang Labuan
Diterbitkan:  Apr 28, 2017 6:20 AM
Dikemaskini: Apr 28, 2017 3:08 AM

Bermula 2 Mei ini, mereka yang melakukan perjalanan dari dan ke pulau bebas cukai Labuan melalui Lapangan Terbang Labuan akan tertakluk kepada pemeriksaan penuh imigresen.

Pelaksanaan peraturan itu bertujuan meningkatkan keselamatan di pintu keluar masuk lapangan terbang berkenaan.

Pengarah Imigresen Labuan Ahmad Ali berkata pelaksanaan pemeriksaan penuh imigresen itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk memelihara kedaulatan negara.

Katanya, sejak 2014, lebih 300 kes di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport dan Akta Jabatan Pendaftaran Negara berlaku di Lapangan Terbang Labuan.

"Walaupun pemeriksaan imigresen (100 peratus) dilaksanakan di Lapangan Terbang Labuan, aliran pengembara ke pulau ini tidak akan terjejas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Ahmad, Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli telah menyuarakan tentang keperluan memantau aliran keluar masuk pengembara atau pelancong melalui lapangan terbang berkenaan di sidang Parlimen sebelum ini.

Katanya, pada 2014, pejabat imigresen dibuka di lapangan terbang itu berikutan gesaan Rozman dan pemeriksaan rambang dilakukan terhadap pengembara.

"Bagaimanapun, berikutan beberapa tangkapan melibatkan mereka yang membuat perjalanan melalui Lapangan Terbang Labuan, kami memohon agar pemeriksaan penuh dilakukan terhadap pengembara domestik dan ia diluluskan serta mula dikuatkuasakan pada 10 April," katanya.

Ahmad berkata pemeriksaan imigresen terhadap pengembara melalui lapangan terbang itu tidak dilakukan sejak Disember 2009, sejajar dengan Perintah (Pengecualian) Imigresen bagi sektor Sabah dan Sarawak (Aliran Bebas).

- Bernama

Lihat Komen
ADS