Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Saya mengambil maklum kebimbangan disuarakan banyak pihak termasuk Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi baru-baru ini berhubung masalah penipuan oleh syarikat pemberi pinjaman wang berlesen atau yang tidak berlesen 'Ah Long'.

Isu dibangkitkan itu bukanlah perkara baru, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama dan makin membimbangkan. Persoalannya, sampai bilakah perkara ini mahu dibiarkan?

Ia dapat dibuktikan melalui laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sebelum ini yang mendedahkan, sepanjang tahun 2016 sahaja mereka menerima lebih 7,000 aduan mengenainya dengan kebanyakkan mangsa terdiri daripada anggota keselamatan, ibu tunggal, usahawan, peniaga kecil dan banyak lagi.

Sehubungan itu saya mendesak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksana langkah-langkah proaktif dalam kadar segera bagi menangani isu yang boleh memberi kesan negatif kepada rakyat ini.

Ia selaras dengan kuasa diperuntukkan kepada KPKT di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Peraturan-Peraturan Pindaan 2010.

Lambakan syarikat pemberi pinjaman kewangan juga menimbulkan keresahan. Saya percaya ia bakal membuka ruang untuk sindiket ceti haram 'Ah Long' mengambil kesempatan beroperasi dengan berselindung di sebalik nama syarikat pemberi pinjam wang yang dilesenkan kerajaan.

Itu seterusnya akan menyebabkan segala usaha dijalankan untuk membenteras kegiatan haram tersebut akan gagal.

Sewajarnya dasar-dasar sedia ada serta kaedah-kaedah digunapakai dalam mengeluarkan sesuatu lesen pemberi pinjam wang kepada mana-mana pemohon dikaji semula.

Saya turut menuntut agensi kerajaan berkaitan agar melaksana penguatkuasaan lebih tegas.

Dakwaan PKP seperti disiar media baru-baru ini bahawa sebahagian 105 aduan diterima mereka pada tahun lalu adalah membabitkan kesalahan seperti mengenakan kadar faedah tinggi antara 8 hingga 20 peratus berbanding kadar 1.5 peratus sebulan seperti dinyatakan dalam akta berkaitan membayangkan berlaku kelemahan ketara dalam penguatkuasaan.

Kelemahan itu saya bimbangi akan menyebabkan syarikat-syarikat terbabit mengambil kesempatan sewenangnya dengan menjadikan peminjam sebagai mangsa.

Menteri berkaitan, Tan Sri Noh Omar perlu menunaikan tanggungjawabnya dengan memandang isu yang membelenggu rakyat ini secara serius.

Beliau tidak ada pilihan selain perlu mendesak kerajaan agar mewujudkan pasukan khas untuk mengawasi lebih 4,000 syarikat pinjaman wang di seluruh negara daripada mengeksploitasi peminjam wang.

Penubuhan pasukan tersebut juga penting bagi menangani sindiket ceti haram 'Ah Long' yang telah berlarutan hampir 10 tahun.

Dengan pelbagai laporan kekejaman dilakukan mereka termasuk mengurung dan merantai mangsa, memukul, menyimbah cat, menculik menyimpan kad ATM serta merampas surat beranak dan pasport peminjam, sindiket itu tidak boleh lagi dibiar bermaharaja lela.

Ingin saya tegaskan, bahawa sudah tiba masanya untuk semua permasalah rakyat diselesaikan, isu penipuan seperti ini tidak harus dibiarkan.

Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin kerajaan bertindak sewajarnya untuk melindungi kepentingan semua rakyat di negara ini.


KESAVAN SUBRAMANIAM adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS