Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Marah Hindraf jangan sampai hina agama lain'
Diterbitkan:  Apr 28, 2017 5:16 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Tidak perlu menghina agama lain dalam mempertahankan pemberian status Pemastautin Tetap (PR) kepada pendakwah Dr Zakir Naik di Malaysia, kata penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin.

"Hindraf tak setuju Dr Zakir Naik jadi warganegara Malaysia. Kita marahkan Hindraf, jangan sampai hina agama orang lain," kata Wan Ji dalam posting di Twitter hari ini.

Hindraf sebelum ini menyatakan bantahan terhadap keputusan kerajaan memberikan status PR kepada Zakir di Malaysia.

Ekoran itu NGO berkenaan dituduh sebagai sebuah kumpulan pelampau yang mahu mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid bahawa Zakir, yang dikehendaki oleh pihak berkuasa India kerana pengubahan wang haram telah mempunyai status PR di Malaysia sejak lima tahun lalu.

Pihak berkuasa India mengeluarkan waran yang tidak boleh diikat jamin terhadap Zakir Naik, sementara Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) juga memohon notis merah Interpol terhadapnya.

Dalam kenyataan awalnya, Wan Ji berkata berdasarkan ajaran al-Quran, umat Islam tidak sepatutnya menghina agama lain, sama seperti penganut agama-agama lain tidak boleh menghina Islam.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini tidak bermakna beliau menolak pemberian status PR terhadap Zakir memandangkan pendakwah itu mempunyai kemampuan untuk berhujah dalam isu-isu Islam.

"Saya anggap, bukan Dr Zakir Naik sahaja perlu diberikan keistimewaan ini, malahan ramai lagi masyarakat india yang tinggal di pendalaman yang masih tidak mendapat kad pengenalan yang perlu diberikan perhatian serius oleh pihak kerajaan juga," katanya.

Beliau juga tidak bersetuju dengan kecenderungan di Malaysia, di mana hanya umat Islam yang boleh berdakwah tanpa memberi hak yang sama kepada orang bukan Islam.

"Tidak adil bagi seseorang yang bergusti dengan dia sahaja diberikan ruang untuk memukul, sedangkan di pihak satu lagi diikat tangannya.

"Demikian juga, diberikan ruang kepada Dr Zakir Naik berhujah, tanpa ditampilkan di pihak yang berbeda dengan beliau berhujah sama," jelas Wan Ji.

Katanya, sikap tidak puas hati yang dilahirkan ramai penganut Hindu di negara ini mungkin disebabkan terdapat larangan bagi bukan muslim menyampaikan agama mereka, sedangkan orang Islam bebas berbuat demikian.

'Jangan takut hujah agama lain'

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Islam agar meyakini agama Islam sebagai agama benar seperti disebut dalam ayat al-Quran bahawa Allah menyatakan kebenaran pasti akan menang.

"Makanya, mana-mana penganut sebarang agama yang yakin agama mereka benar, tidak wajar takut membenarkan kepada penganut agama lain untuk berhujah untuk pihak mereka.

"Ini kerana, sikap melarang itu secara tidak langsung menampilkan kurang keyakinan kita bahawa kebatilan pasti akan hancur sepertimana yang diungkapkan oleh al-Quran.

"Sebagai seorang penganut agama Islam, malahan meyakini Islam sebagai agama yang paling benar, saya mencadangkan kepada pihak berkuasa tidak mengajar umat Islam takut dari mendengar hujah dari pihak agama lain, sebaliknya berusaha menampilkan pendakwah-pendakwah terlatih dan bijak dalam menyatakan hujah berkenaan agama Islam," jelasnya.

Lihat Komen
ADS