Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perbualan Whatsapp bersifat persendirian, kata SKMM
Diterbitkan:  Apr 28, 2017 6:04 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, perbualan dalam mana-mana kumpulan aplikasi pesanan seperti Whatsapp, Wechat, Viber, Telegram dan sebagainya adalah bersifat persendirian.

"Siasatan hanya akan dijalankan jika terdapat aduan terhadap kandungan yang disebarkan dalam kumpulan tersebut.

"Justeru, orang ramai, sama ada pentadbir atau ahli kumpulan, perlu berwaspada dalam menyebarkan maklumat dalam kumpulan masing-masing supaya tidak terjadi kes penyebaran maklumat palsu," katanya dalam kenyataan.

Semalam, beberapa akhbar tempatan melaporkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari sebagai berkata, admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara.

Jailani berkata, tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir terbabit.

Di bawah akta itu, pelbagai kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti menyebarkan berita palsu, fitnah, menghasut, penipuan dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mengulas lanjut, SKMM berkata, penyebaran maklumat palsu adalah kesalahan di bawah undang-undang Malaysia, termasuk seksyen 233 AKM 1998.

Adalah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk menggunakan perkhidmatan aplikasi seperti Whatsapp, untuk membuat dan memulakan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik, katanya.

Ia juga beserta sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, tegasnya.

"Perlu ditekankan bahawa mana-mana siasatan tidak akan membezakan di antara pentadbir dan ahli kumpulan. Jika pentadbir atau mana-mana ahli kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

"Berdasarkan fakta, bukti dan perlakuan, seorang pentadbir mungkin dipertanggungjawabkan dalam keadaan iaitu apabila pentadbir sendiri membuat komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, yang merupakan kesalahan di bawah seksyen 233 AKM 1998," katanya.

Selain itu, tambah MCMC, ia terpakai apabila pentadbir, walau pun dengan sendirinya tidak membuat komen tersebut, meminta komen sedemikian daripada yang lain dan apabila pentadbir membantu, melalui hasutan, mana-mana orang lain dalam kumpulan untuk membuat komen tersebut dan apabila pentadbir menghalang siasatan terhadap komen sedemikian oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

"Dalam perkara ini, MCMC akan mempertimbangkan keperluan mengadakan garis panduan tentang penggunaan aplikasi pesanan dan seumpamanya.

"Pada masa yang sama, orang ramai digesa untuk sentiasa berhemah dalam penggunaan media sosial demi perlindungan mereka sendiri," jelas suruhanjaya itu.

Lihat Komen
ADS